Tukar nama pemilik akaun elak tanggung hutang bil - TNB | DagangNews Skip to main content

Tukar nama pemilik akaun elak tanggung hutang bil - TNB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pemilik premis untuk menukar nama pemilik akaun (pengguna berdaftar) kepada nama penyewa premis melalui proses Change of Tenancy  (COT).

 

Ini supaya penyewa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bil elektrik, jelas syarikat utiliti itu.

 

“Dengan melakukan pertukaran nama akaun, pemilik premis dapat mengelak daripada menanggung tunggakan bil elektrik yang ditinggalkan penyewa, sekiranya berlaku. 

 

“Permohonan pertukaran nama perlu dilaksanakan oleh penyewa premis yang akan menandatangani kontrak baharu dengan TNB. 

 

“Urusan pertukaran nama ini boleh dilakukan melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau dengan mengunjungi Kedai Tenaga yang  berdekatan,” kata TNB dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Tambah TNB, langkah-langkah dan dokumen sokongan yang diperlukan bagi tujuan permohonan pertukaran nama boleh diperolehi di portal myTNB. 

 

Jelas syarikat utiliti itu, sekiranya penyewa telah berhenti menyewa, pemilik boleh menukar nama pemegang akaun kepada penyewa baharu atau kembali ke nama pemilik asal, jika tidak menyewakan lagi premis tersebut. 

 

“Walau bagaimanapun, apabila berlaku pertukaran nama pengguna berdaftar daripada pemilik premis kepada penyewa, sebarang permohonan pemotongan bekalan bagi tujuan menamatkan akaun dengan TNB hanya akan diterima daripada pengguna berdaftar sahaja. 

 

“TNB turut menyediakan satu lagi perkhidmatan agar pemilik premis dapat memantau corak  penggunaan dan pembayaran bil bulanan penyewa dengan lebih mudah menerusi portal dan aplikasi myTNB,” katanya lagi. 

 

Menerusi kaedah itu, pemilik premis dapat memastikan pembayaran bil sentiasa dibuat oleh penyewa, selain mengambil langkah-langkah lain bagi mengelakkan dibebani masalah penyewa yang culas membayar. 

 

Untuk pertanyaan berkenaan perkhidmatan TNB, pengguna boleh menghubungi TNB  CareLine di 1300-88-5454, email ke tnbcareline@tnb.com.my atau menerusi Facebook TNB  CareLine.  - DagangNews.com