Tular gambar comel Putera Philip dan Ratu Elizabeth | DagangNews Skip to main content

Tular gambar comel Putera Philip dan Ratu Elizabeth

 

LONDON 10 April - Suami Ratu Elizabeth II, Putera Philip, yang mangkat pada Jumaat, diingati oleh rakyat Britain sebagai seorang suami yang penyayang terhadap isterinya.

 

Satu daripada gambar yang tular sekarang ialah bila Philip berdiri tegak dalam pakaian istiadat dengan Elizabeth jelas kelihatan ketawa. Perlakuan comel pasangan diraja ini berjaya dirakam lensa.

 

Gambar ini dirakam oleh Chris Young dari The Associated Press pada 2003, berikutan kekecohan kecil disebabkan oleh lebah di Istana Windsor. 

 

Queen
 Gambar oleh Chris Young dari The Associated Press pada 2003.

 

Pemergian Duke of Edinburgh itu ternyata kehilangan besar bagi Ratu berusia 94 tahun itu, yang pernah menyifatkan baginda sebagai tonggak kekuatannya selama ini.

 

Bekas Komander Tentera Laut itu menghabiskan sebahagian besar kehidupannya di sisi Ratu Elizabeth II, menyertai pelbagai acara amal tetapi sering mendapat perhatian kerana keceluparan mulutnya.

 

Baginda dimasukkan ke hospital pada 16 Februari lalu dan dibenarkan pulang selepas sebulan apabila selesai menjalani rawatan bagi masalah jantung.

 

Putera Philip, yang sentiasa berada di sisi Ratu Elizabeth II selama hampir lapan dekad, bersara dari tugas awam pada 2017, ketika berusia 96 tahun.

 

Kemangkatan baginda berlaku beberapa bulan sebelum sambutan ulang tahun ke-100 Jun ini.

 

Acara itu lazimnya disambut di Britain dengan ucapan tahniah daripada Ratu, yang kini diiktiraf sebagai monarki paling lama bertakhta di negara itu.

 

Pasangan itu meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-73 pada November lalu.

 

Pasangan diraja itu tinggal berasingan di Istana Windsor yang terletak di sebelah barat London kerana usia tua menjadikan mereka berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.

 

Pasangan itu memperoleh suntikan vaksin COVID-19 pertama mereka pada awal tahun ini.

 

Putera Philip dan Ratu Elizabeth II mempunyai empat anak iaitu Charles, Anne, Andrew dan Edward selain lapan cucu serta sembilan cicit. - DagangNews.com