Tumpu 3 fokus utama, Bajet 2022 dibentang 29 Oktober nanti | DagangNews Skip to main content

Tumpu 3 fokus utama, Bajet 2022 dibentang 29 Oktober nanti

Bajet 2022

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Bajet 2022 dijangka akan dibentangkan pada 29 Oktober 2021 iaitu sembilan hari selepas pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bajet berkenaan akan memberi tumpuan kepada tiga fokus utama.

 

"Kesinambungan PPN (Pelan Pemulihan Negara) dan langkah-langkah pemulihan ekonomi lain akan diperincikan semasa pembentangan RMKe-12 dan Bajet 2022.

 

"Insha-Allah, RMKe-12 dijangka akan dibentangkan di Dewan yang mulia ini pada 20 September dan Bajet 2022 pada 29 Oktober nanti.

 

"Saya juga ingin maklumkan, Bajet 2022 akan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu agenda memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan, atau 'Recovery, Resilience, Reform'," katanya ketika membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Sidang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

 

Menurut beliau lagi, tumpuan khusus akan diberikan kepada usaha untuk memulihkan sektor terjejas seperti pelancongan, meningkatkan keupayaan sistem kesihatan awam serta skop perlindungan sosial dan merancakkan ekonomi digital.

 

Tumpuan yang diberikan itu adalah dalam usaha mengukuhkan daya saing negara dalam menghadapi norma baharu global. 

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan buat pertama kalinya akan menerbitkan kenyataan Pra-Bajet termasuk dokumen konsultasi rakyat mengenai tumpuan dasar pada Ogos nanti selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan proses serta penglibatan rakyat dalam penyediaan Bajet tahunan. 

 

"Selain itu, sebagai elemen utama penyampaian maklumat mengenai pelaksanaan PPN kepada masyarakat awam, sebuah Portal Pelan Pemulihan Negara dibangunkan sebagai pusat rujukan sehenti yang memaparkan indikator-indikator terkini serta maklumat berkaitan PPN, manfaat dan juga SOP terkini, dengan cara yang lebih mesra pengguna," ujar beliau lagi. - DagangNews.com