Tuntutan lanjutan Program Subsidi Upah 3.0 tak perlu permohonan baharu | DagangNews Skip to main content

Tuntutan lanjutan Program Subsidi Upah 3.0 tak perlu permohonan baharu

Lanjutan Program Subsidi Upah 3.0

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Jun - Tuntutan Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 yang dilanjutkan selama sebulan tidak memerlukan kepada permohonan baharu.

 

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, tarikh akhir bagi permohonan PSU 3.0 itu dilanjutkan kepada 31 Julai nanti.

 

"Bagi majikan yang telah memohon PSU 3.0 (Belanjawan 2021, Permai atau Pemerkasa), mereka tidak perlu mengemukakan permohonan baharu bagi tuntutan 1 bulan lanjutan di bawah Pemerkasa Plus.

 

"Namun, sekiranya terdapat perubahan kepada status keaktifan perniagaan atau bilangan pekerja yang layak, majikan dikehendaki mengemaskini perubahan maklumat tersebut selewat-lewatnya pada 15 hari bulan pada bulan berkenaan melalui prihatin.perkeso.gov.my.

 

"Kegagalan majikan tidak melaporkan perubahan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang," jelas Perkeso.

 

Mengulas lanjut, Perkeso memberitahu, permohonan baharu hanya perlu dibuat oleh majikan yang tidak pernah memohon PSU 3.0 pada sebelumnya.

 

Majikan berkenaan perlu mengemukakan permohonan melalui laman web prihatin.perkeso.gov.my

 

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan program Pemerkasa Plus memberitahu, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PSU di bawah Perkeso selama satu bulan.

 

Lanjutan tersebut diberikan kepada semua sektor ekonomi yang terkesan dengan kos RM1.5 bilion dengan had 500 pekerja bagi setiap permohonan.

 

Melalui inisiatif berkenaan, seramai 2.5 juta pekerja dan lebih 200,000 majikan dijangka akan mendapat manfaat. - DagangNews.com