TV6 Radio Televisyen Malaysia tampilkan `nostalgia' sebagai komoditi ekonomi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 16 July 2021

TV6 RTM tampilkan `nostalgia' sebagai komoditi ekonomi

 

 

 

BEBERAPA bulan lalu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memulakan siaran percubaan bagi saluran TV6 – yang bersiaran di platform myFreeview dan RTMKlik.

 

Saluran ini merupakan salah satu saluran baharu yang diperkenalkan oleh RTM hasil daripada bermulanya siaran digital terrestrial (DTT) setelah analogue switch-off (ASO) pada tahun 2019 – yang membolehkan saluran TV terrestrial diwujudkan dengan lebih mudah dan murah selagi mana mendapat lesen darpada pihak Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM).

 

Sesuatu yang menarik perhatian saya adalah saluran percubaan TV6 ini membawa konsep saluran retro, dengan menayangkan kembali koleksi program TV dari 1960-an hingga 1990-an.

 

Tanpa mengetahui justifikasi sebenar pemilihan konsep tersebut oleh pihak RTM bagi saluran baharu ini – saya melihat pendekatan ini adalah sesuatu yang praktikal – memandangkan RTM tidak memerlukan peruntukan kos kandungan baharu mahupun mengambil risiko penerbitan baharu dalam situasi pandemik kini. Apatah lagi bagi sebuah saluran percubaan – yang mana pertimbangan kos kandungan dan operasi menjadi antara pertimbangan utama.

 

Walaupun begitu, tanpa promosi yang hebat mahupun melibatkan kos promosi yang besar, secara umum dapat dilihat saluran ini mendapat sambutan yang baik, khususnya dari peminatnya yang tersendiri.

 

Ia menjadikan saluran TV6 sebagai sebuah saluran niche yang mempunyai pengikut, disamping ia dapat memanfaatkan sepenuhnya koleksi arkib program televisyen milik RTM yang cukup besar sejak bersiaran lebih setengah abad yang lalu.

 

Meskipun terdapat golongan muda yang menonton bagi menonton suatu zaman yang mungkin tidak berkesempatan untuk mereka lalui sepanjang usia mereka, namun saya pasti sebahagian daripada khalayak penontonnya juga adalah daripada golongan lebih berusia – yang menontonnya untuk mengembalikan nostalgia tentang masa, lokasi, individu, malah suasana yang pernah mereka lalui pada suatu ketika dahulu.

 

Oleh kerana itu, dalam masyarakat yang mana terdiri daripada khalayak yang mempunyai nilai sentimen yang kuat – saya melihat kandungan bernostalgia ini mempunyai pasaran yang baik. Tidak sekadar sebagai pasaran niche yang spesifik – malah pada keadaan tertentu berpotensi besar sebagai pasaran massa dalam arus perdana.

 

Sebagai seorang pecinta warisan audiovisual – serta aktif dalam kerja-kerja advokasi dan apresiasi warisan audiovisual – usaha RTM ini pastilah sesuatu yang menggembirakan saya. Tetapi, lebih penting daripada sentimen peribadi tersebut, ia membuktikan bahawa koleksi warisan audiovisual, ataupun mungkin sesuai kita katakan sebagai kandungan kreatif yang telah berusia ini tetap mempunyai nilainya – bukan sekadar ruang mengenang sejarah dan bernostalgia – tetapi juga dalam konteks ekonomi.

 

tv6

 

Kita dapat melihat bagaimana sejumlah koleksi audiovisual dalam simpanan RTM ini yang telah berusia puluhan tahun, dengan teknologi dan kualiti visual yang jauh ketinggalan jika mahu dibandingkan dengan penerbitan terkini, tetap mempunyai kuasa tarikan penontonannya yang tersendiri.

 

Kita juga boleh melihat hal ini melalui platform OTT tempatan - SIAR – yang muncul antara platform OTT berbayar tempatan yang paling mendapat sambutan setakat ini.

 

Jika mahu difikirkan, dengan saingan dari pelbagai platform yang menayangkan filem-filem blockbuster kini, bagaimana sebuah platform yang menayangkan `filem-filem lama` ini mampu menarik sejumlah besar pelanggannya untuk membayar bagi mendapat akses dan menonton filem-filem klasik ini.

 

Mungkin situasi dan perbandingan yang sama dapat kita lihat bagi nilai barangan antik yang semakin lama semakin bernilai tinggi, hal sama juga berlaku dalam konteks kandungan kreatif dan program televisyen.

 

Dalam satu perspektif yang lain, program televisyen mahupun rakaman audiovisual terkini mungkin dilihat tiada keistimewaannya pada hari ini, mungkin menjadi suatu bahan penting di masa depan atas pelbagai faktor.

 

Mungkin kerana subjek yang dirakam tersebut telah tiada, dan mungkin kerana ia satu-satunya rakaman yang merakam subjek tersebut yang masih wujud untuk tontonan semasa. Malah mungkin ia mengingatkan penonton tentang sesuatu yang dekat dengan dirinya. Terdapat pelbagai kemungkinan dalam hal ini.

 

 

tv6
PROMOSI TV6 RTM dalam Tiktok mengenai konsert Sudirman Hj Arshad

 

Kerana itu jugalah yang memperkuatkan kepercayaan saya bahawa kandungan merupakan aset yang bernilai – serta sesiapa yang memiliki hakciptanya mampu untuk terus mendapat manfaat daripadanya untuk pada masa mendatang – termasuklah dalam konteks penjanaan kewangan dan pendapatan.

 

Organisasi media termasuklah para penerbit mahupun pembikin yang mempunyai aset dan `library` kandungan kreatif akan mampu untuk terus memanfaatkannya sebagai kelangsungan ekonomi untuk jangkamasa panjang.

 

Mungkin salah satu pendekatan syarikat produksi untuk dalam menghadapi kesukaran produksi baharu dalam masa pandemik kini adalah meneroka pelaburan bagi mendapatkan hak dan memanfaatkan ke atas rakaman dan penerbitan terdahulu.

 

Sepertimana yang kita ketahui, dalam konteks Malaysia terdapat banyak hasil produksi mahupun rakaman terdahulu milik pelbagai pihak yang tidak dimanfaatkan sebaiknya dalam konteks pengkomersialan, dan ini mungkin masa yang sesuai untuk hasil-hasil ini dipakejkan kembali dengan lebih segar dan unik. - DagangNews.com

 

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF 

 

 

Portfolio Tags