TVS terbitkan program carian bakat pertama, TVSTARZ | DagangNews Skip to main content

TVS terbitkan program carian bakat pertama, TVSTARZ

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Stesen televisyen kerajaan negeri Sarawak, TVS memperkenalkan program realiti baharu iaitu TVSTARZ, dijadualkan bersiaran selama tiga musim, mulai 16 Mac ini di TVS saluran 122 Astro dan myFreeview.

 

Program realiti baharu itu telah menerima lebih daripada 645 penyertaan dari seluruh Malaysia dengan enam peserta berbakat akan didedahkan melalui salah satu episod yang telah dipilih oleh para juri. 

 

Menurut TVS, musim pertama TVSTARZ bakal menampilkan kebolehan bakat nyanyian peserta, musim kedua pula memperlihatkan kemahiran pengacaraan manakala musim ketiga mengetengahkan kebolehan berlakon para peserta. 

 

TVSTARZ

 

Pada musim ini, sekumpulan enam peserta yang juga bakal dikenali sebagai “The Dream Team” akan mempertandingkan kebolehan nyanyian untuk ke peringkat akhir di mana mereka akan berdepan dengan seorang pencabar pada setiap minggu. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Suhaimi Sulaiman melihat program realiti itu akan menjadi satu fenomena baharu dalam industri hiburan tanah air. 

 

“Kami percaya dengan adanya platform sebegini, ia bakal melonjakkan bakat peserta ke tahap yang lebih tinggi sekali gus memanfaatkan industri kreatif tempatan terutamanya di Sarawak,” kata Suhaimi dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Musim pertama TVSTARZ bakal bersiaran selama 10 episod sementara musim kedua dan ketiga masing-masing diterbitkan selama 6 episod. 

 

Diacarakan oleh salah seorang penerbit TVS, penyanyi dan penari, Jay C manakala guru vokal, Yudhi Seriestha dan penyanyi terkenal tanah air, Ernie Zakri serta Amir Jahari sebagai juri tetap, setiap musim rancangan itu bakal menampilkan peserta yang berbeza.

 

TVSTARZ

 

Dalam pada itu, bekas Miss World Malaysia 2014 yang juga merupakan anak kelahiran Sarawak iaitu Dewi Liana Seriestha bakal menjadi guru vokal rasmi TVSTARZ selain penerbit muzik TVS, Farouq Mousthofa sebagai penggubah lagu. 

 

Menurut penerbit TVSTARZ, Nurbaizura Abu Mansor, rancangan realiti pertama terbitan TVS itu bakal menjadi penanda aras bagi arena seni tempatan khususnya kepada para peserta dalam perjalanan mereka untuk menjadi seorang bintang.

 

TVSTARZ

 

Tambah kenyataan itu, TVSTARZ merupakan idea baharu serta terbitan asal stesen televisyen berkenaan yang sejajar dengan slogan TVS iaitu, “Fresh and Inspiring”. 

 

Rancangan itu juga bakal dihasilkan 100% secara maya dan disiarkan di kaca televisyen berikutan keadaan pandemik semasa. - DagangNews.com