UCSI, Alibaba Cloud meterai MoU teroka pembangunan bakat digital Malaysia | DagangNews Skip to main content

UCSI, Alibaba Cloud meterai MoU teroka pembangunan bakat digital Malaysia

Prof Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir (tengah) bertukar dokumen perjanjian dengan Kun Huang (dua dari kiri) ketika majlis memeterai perjanjian persefahaman bagi memperkenalkan kurikulum perkomputeran awan untuk pelajar dan staf UCSI, hari ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 April -  Universiti UCSI memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Alibaba Cloud bagi memperkenalkan kurikulum perkomputeran awan (cloud computing) untuk pelajar dan staf di UCSI.

 

Kerjasama ini menyasarkan untuk menyokong ekonomi digital negara dengan memperkasakan bakat digital dan profesional teknologi melalui pendidikan perkomputeran awan.

 

Naib Canselor Universiti UCSI, Prof Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, beliau yakin melalui perjanjian ini UCSI bakal mempersiapkan pelajar dan pensyarah untuk mendepani peralihan awan digital.

 

“Memandangkan UCSI telah melaksanakan IR 4.0 ke dalam semua kursus, maka penting untuk pelajar dan pensyarah sentiasa mengikuti trend industri dan bersedia dengan corak kerja pada masa depan.

 

“Hasilnya, kita sentiasa memperkukuhkan kerjasama dengan firma antarabangsa, institusi asing dan institusi penyelidikan. Saya yakin melalui kerjasama dengan Alibaba Cloud ini, kita akan dapat mempersiapkan pelajar dan pensyarah untuk peralihan awan digital,” katanya.

 

Siti Hamisah mewakili UCSI Education Sdn Bhd bertukar dokumen perjanjian dengan Pengurus Besar Alibab Cloud Intelligence Malaysia, Kun Huang.

 

 

ucsi
Prof Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir

 

 

Majlis itu disaksikan Pengarah Institut Sains Komputer dan Inovasi Digital (ICSDI) UCSI, Prof Madya Dr Keoy Kay Hooi; Ketua Pemasaran dan Perniagaan Dalam Talian Alibaba Cloud Intelligence Malaysia, Yilan Zhuang serta Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan UCSI (kampus Kuala Lumpur), Prof Datuk Dr Rohana Yusof.

 

Sementara itu, Kun Huang berkata, pihaknya akan menyampaikan pengalaman sebenar kepada UCSI dalam membantu pelajar dan stafnya merebut peluang yang tersedia dalam era digital.

 

“Kami gembira Universiti UCSI menyertai kami untuk Program Pemerkasaan Akademik Awan Alibaba (AAEP). Alibaba Cloud penuh dedikasi menyediakan servis terbaik dalam kelas kepada pelanggan dan kami akan sampaikan pengalaman ini kepada UCSI untuk membantu pelajar dan staf supaya mereka mendapatkan sumber pembelajaran yang  terbaik dalam industri bagi merebut peluang yang lebih baik dalam era digital.

 

 

ucsi
Kun Huang

 

 

“Kami berharap pada masa depan dapat bekerjasama dengan rakan kerjasama tempatan untuk memainkan peranan penting dalam mewujudkan sekumpulan bakat digital yang mampan sekali gus bakal menyumbang kepada industri pendigitalan negara,” katanya.

 

Universiti UCSI akan memasukkan kursus Akademi Awan Alibaba dalam program ICSDI seperti Sarjana Muda Sistem Informasi Perniagaan, Sarjana Muda Sains Komputer (Hons) Perkomputeran Mudah Alih dan Rangkaian, Sarjana Teknousahawanan, Sarjana Komputer Sains dan banyak lagi. 

 

Selain itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama menganjurkan seminar, bengkel dan aktiviti latihan berkaitan perkomputeran awan, keselamatan mahupun pangkalan data. - DagangNews.com