UEM Sunrise agih bantuan kepada komuniti sekitar Lembah Klang | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise agih bantuan kepada komuniti sekitar Lembah Klang

Surau Ar Rayyan Presint 6, Putrajaya menjadi lokasi terakhir bagi Program Bantuan Keperluan Asas COVID-19.

 

 

KUALA LUMPUR 27 Sept.  – UEM Sunrise Bhd. bersama Yayasan UEM yang merupakan sayap peneraju tanggungjawab sosial korporat (CSR) UEM Group Bhd., telah menjalankan Program Bantuan Keperluan Asas COVID-19 kepada golongan kurang berkemampuan di sekitar Lembah Klang yang terkesan dengan wabak tersebut.

 

Program ini adalah sebahagian daripada tindak balas kemanusiaan secara kolektif dan inisiatif sosial yang diketuai oleh Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Milik Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Milik Kerajaan (GLIC) yang diselaraskan oleh Yayasan Hasanah dan Yayasan TM sebagai sekretariat bersama. 

 

Dengan bantuan seramai lebih 60 sukarelawan UEM Sunrise, program ini memberi manfaat kepada 1,000 buah keluarga di sekitar Lembah Klang merangkumi golongan warga emas di rumah warga tua, kanak-kanak di rumah anak yatim, termasuk golongan yang kurang berkemampuan dalam pelbagai komuniti setempat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, aktiviti sukarelawan ini telah sebati dengan syarikat selaras dengan nilai-nilai teras C.H.I.E.F. syarikat iaitu singkatan bagi Caring, Honest, Involved, Enthusiastic, dan Fun-loving. 

 

"Kami sentiasa komited untuk mengenal pasti dan memberikan bantuan kepada masyarakat di sekitar pembangunan kami, terutama dalam tempoh yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pengagihan ini bermula pada 18 Ogos di 2 rumah jagaan iaitu Pusat Jagaan Mahmudah, Bangi dan Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang di mana sebanyak 35 set barangan keperluan telah diberikan

 

Unit CSR UEM Sunrise dan para sukarelawan menamatkan program ini di lokasi terakhir, iaitu di Surau Ar Rayyan Precinct 6, Putrajaya pada 11 September 2021. 

 

Kali ini dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang turut membantu menyusun barangan keperluan yang akan diagihkan kepada 230 keluarga di kawasan ini.

 

UEM Sunrise sebelum ini telah menganjurkan sebanyak 6 program CSR sejak awal tahun termasuk pengagihan barangan keperluan ke Kampung Orang Asal Simpang Arang di Gelang Patah, Johor, sumbangan wang tunai kepada Pertubuhan Anak Yatim Nur Kasih Bestari di Kajang, Selangor bersempena Hari Raya Aidilfitri dan sumbangan Tahun Baru Cina kepada Persatuan Kebajikan Orang Tua Ceria di Johor. - DagangNews.com