UEM Sunrise, PGTSSB, Gentari perkukuhkan komitmen ke arah dasar pembangunan lestari | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise, PGTSSB, Gentari perkukuhkan komitmen ke arah dasar pembangunan lestari

(Dari kiri) Annaliz Abu Bakar, Sufian Abdullah dan Shahrizal Yang Razalli bergambar ketika majlis menandatangani MoU antara UEM Sunrise, PGTSSB dan Gentari.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept - UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan Petronas melalui dua anak syarikat milik penuhnya, Petronas Global Technical Solutions Sdn Bhd (PGTSSB) dan Gentari Sdn Bhd (Gentari).

 

Ia merupakan kerjasama untuk menerokai penggunaan tenaga boleh diperbaharui, tenaga dan mobiliti hijau serta pembangunan bandar yang pintar dan mampan untuk masa hadapan.

 

UEM Sunrise dan Petronas merancang untuk menuju ke arah matlamat bersama dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dengan memanfaatkan teknologi, kepakaran dan sumber masing-masing untuk mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, mobiliti hijau, bandar pintar lestari dalam jangka pendek, sederhana dan panjang. 

 

Selain itu, perkongsian tersebut selaras dengan salah satu Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 (UNSDG), khususnya matlamat ke-17, “Kerjasama demi Matlamat”.

 

Kerjasama tersebut juga merangkumi penyelesaian lestari yang sedia ada serta penyelesaian terkini dalam pembangunan syarikat, yang mana UEM Sunrise merupakan pemaju hartanah pertama yang bekerjasama dengan dua anak syarikat Petronas tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, mereka teruja untuk bekerjasama dengan rakan korporat yang mempunyai hala tuju yang sama seperti PGTSSB dan Gentari ke arah matlamat bersama untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050. 

 

"Dengan kolaborasi yang strategik ini, saya yakin bahawa kita menuju ke arah yang tepat untuk mencapai matlamat kami. Ini merupakan titik permulaan kepada kolaborasi yang saling menguntungkan di samping membawa nilai mampan jangka panjang untuk seluruh komuniti," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam jangka masa terdekat, kolaborasi bersama Gentari akan memberi tumpuan kepada penyelesaian karbon rendah, termasuk stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dan ‘forecourt’ elektrik di pembangunan-pembangunan UEM Sunrise serta ladang suria di tanah UEM Sunrise.

 

Manakala dalam jangka panjang, MoU dengan PGTSSB akan menerokai penyelesaian karbon rendah dan berasaskan alam semula jadi seperti, penyelesaian tenaga hijau pintar dan tenaga boleh diperbaharui, ekonomi kitaran dan penyelesaian teknikal dan teknologi mampan.

 

Ketua Peralihan Penyelesaian Tenaga Bersih Petronas, Shahrizal Yang Razalli berkata, peralihan ke arah tenaga yang lebih bersih membuka peluang besar di Malaysia.

 

"Kerjasama dengan rakan kongsi yang amat komited tentang peralihan ini seperti UEM Sunrise, akan membantu Gentari memajukan usaha bersepadu kami dalam memacu peralihan ke arah mobiliti mampan dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PGTSSB, Annaliz Abu Bakar menambah, pihaknya teruja untuk bekerjasama secara strategik sambil mengembangkan kepakaran kami melangkaui industri tenaga. 

 

"Kami yakin bahawa sinergi melalui titik sentuhan kedua-dua syarikat akan terus berkembang dan memanfaatkan lebih ramai pemegang-pemegang kepentingan ketika Malaysia menuju ke arah negara neutral karbon menjelang 2050," katanya. - DagangNews.com