UEM Sunrise rancang lancar projek dengan GDV RM3.3 bilion | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise rancang lancar projek dengan GDV RM3.3 bilion

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Jan - UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) mengumumkan peningkatan sasaran jualan kepada RM1.5 bilion dengan perancangan pelancaran projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.3 bilion melibatkan pembangunan sebanyak 3,526 unit hartanah, tahun ini.

 

Ia termasuk mengaktifkan kawasan seluas 1.3 ekar di Collingwood, Melbourne, Australia yang diperolehi pada 2020 bagi melancarkan projek pembangunan bercampur dengan jangkaan GDV AUD250 juta. 

 

Dalam rancangan pelancaran yang agresif sekitar pertengahan tahun 2022, UEM Sunrise akan terus melancarkan fasa baharu projek-projek popular seperti di Serene Heights, Bangi dan Senadi Hills, serta produk bertemakan Aspira di Iskandar Puteri, selain rancangan untuk melancarkan projek-projek baharu di pasaran. 

 

Ini termasuk pembangunan bercampur berorientasikan transit di tanah berkeluasan 6.86 ekar yang terletak bersebelahan stesen MRT Taman Connaught di Cheras dan pembangunan bangunan tinggi integrasi bercampur di Mont Kiara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, syarikat akan terus memantau permintaan pasaran dan menawarkan produk yang berkualiti dan relevan di lokasi tepat yang dibina dengan tatacara dan rekaan lestari serta kesemuanya didatangkan dalam pakej bernilai bersesuaian dengan harganya.  

 

"UEM Sunrise kini bertungkus-lumus menyempurnakan kerja-kerja di tapak pembinaan yang terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan projek siap mengikut jadual.

 

“Kami juga memastikan produk kami dijual pada harga berpadanan dengan permintaan pasaran dan pada masa sama meneroka rekaan berpandukan ESG dan tidak keterlaluan. Tahun 2022 akan menjadi tahun kami merancakkan semula aktiviti jualan selepas hampir dua tahun hidup dengan pandemik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Sufian, UEM Sunrise telah melancarkan strategi tiga serangkai iaitu Triage (mengutamakan isu-isu perlu diberi perhatian segera dan mempercepatkan pelancaran), Stabilise (proses transformasi syarikat melibatkan warga kerja, proses dan portfolio) dan Sustain (mempelbagaikan sumber pendapatan untuk pulangan yang mampan).

 

 

uem
Sufian Abdullah

 

 

"Syarikat telah meletakkan batu asas untuk mengubah inovasi produk dan rekaan bagi membentuk DNA produk kukuh demi memenuhi keperluan rekaan serta menangani isu fleksibiliti ruang seperti yang dituntut pasaran," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, berikutan peningkatan kos bahan binaan, pihaknya akan merombak semula strategi pemerolehan bagi mencapai pengurusan kos lebih berkesan dan meluaskan penggunaan alat pemodelan maklumat bangunan bagi membolehkan perancangan serta visualisasi keseluruhan projek lebih baik semasa peringkat prapembinaan. 

 

"Syarikat akan terus meneliti pasaran bagi memperoleh bank-bank tanah di kawasan strategik khasnya di wilayah tengah untuk perancangan dan pelaksanaan projek baharu lebih pantas. Usaha melucutkan hak tanah-tanah tidak strategik turut dilaksanakan selaras dengan strategi mengimbangi portfolio bank tanah syarikat.

 

 

uem

 

 

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, UEM Sunrise berjaya melepasi sasaran jualan sebanyak RM1.2 bilion dengan menjual 1,595 unit hartanah pada tahun lepas. 

 

Jelasnya, syarikat turut mencatatkan jualan sebanyak RM1.46 bilion di sebalik pandemik yang melanda dan pengurangan pelancaran projek-projek baharu. 

 

"Pembangunan di Lembah Klang, termasuk Residensi Ava di Kiara Bay dan Residensi Allevia, menjadi penyumbang utama merekodkan nilai jualan sebanyak RM438.4 juta dan RM215.7 juta. Angka tersebut merangkumi 45% daripada jualan keseluruhan produk UEM Sunrise. 

 

 

uem

 

 

"Pembangunan di wilayah tengah merangkumi 71% jualan keseluruhan dan selebihnya disumbangkan produk di wilayah selatan. Senadi Hills Fasa 1 mendahului jualan dengan nilai RM109.8 juta hartanah terjual bagi tahun tersebut," katanya.

 

Katanya, UEM Sunrise mengekalkan prospek konservatif memandangkan pandemik COVID-19 berlarutan dan penguatkuasaan PKP dengan melancarkan hanya 40% daripada jumlah GDV RM1.2 bilion yang ditetapkan pada awal tahun.  

 

“Kami telah melihat jualan lebih baik berbanding tahun 2020 dengan mencatatkan jualan RM1.13 bilion. Meskipun pelancaran produk bersasar diambil bersama sentimen pengguna yang lemah serta protokol pemberian pinjaman lebih ketat berbanding tahun terdahulu, kami berjaya mengatasi sasaran jualan.

 

Jualan belum dibil UEM Sunrise adalah pada RM2.34 bilion setakat 31 Disember 2021. - DagangNews.com