UEM Sunrise terus terjejas akibat PKP, diunjur rugi RM65 juta | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise terus terjejas akibat PKP, diunjur rugi RM65 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan penuh (FMCO) yang dikenakan sejak Jun hingga Ogos tahun ini mengakibatkan UEM Sunrise kerugian yang lebih besar sebanyak RM56 juta bagi tempoh 9 bulan tahun kewangan 2021.

 

Walau bagaimanapun, Kenanga Investment Bank berkata, jualan yang direkodkan untuk tempoh tersebut sebanyak RM915 juta adalah melebihi sasaran konservatif RM1.0 bilion yang dibuat pihaknya. 

 

"Walaupun berprestasi rendah, kami menaik taraf UEM Sunrise kepada 'Outperform' dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM0.40 kerana kami menganggap harga saham semasanya sebagai bernilai," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Firma penganalisis itu menambah, semasa sesi taklimatnya semalam, pihak pengurusan UEM Sunrise secara terbuka mengakui buat pertama kalinya bahawa kumpulan itu menghadapi isu kecekapan dan kos yang menghalang kumpulan daripada memperoleh keuntungan. 

 

Katanya, antara pelan utama yang dikongsi untuk memulihkan syarikat termasuk  memendekkan masa pusing ganti pembangunan untuk mengurangkan kos pegangan, pelupusan JV yang merugikan dan aset bukan teras untuk menjadikan syarikat lebih mapan, menjimatkan kos dengan melakukan pembelian pukal daripada vendor dan pembekal, serta menyediakan pelan pelancaran projek yang lebih teratur. 

 

"Kami positif terhadap inisiatif ini tetapi percaya bahawa pelaksanaan adalah kunci untuk pemulihan yang berjaya," katanya. 

 

Tambahnya, susulan keputusan yang tidak menepati sasaran, Kenanga Investment menurunkan lagi unjuran kerugian UEM Sunrise kepada RM65 juta daripada RM33 juta sebelum ini dengan mengambil kira kerugian yang lebih besar dalam suku ketiga 2021.

 

"Walaupun tahap operasi pembinaan telah menjadi normal pada suku keempat, kami masih mengunjurkan kerugian untuk suku tersebut kerana kebanyakan projeknya masih di peringkat awal yang menghalang pengiktirafan bermakna untuk kumpulan berikutan struktur kos yang tinggi," jelasnya. -DagangNews.com