UMediC bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

UMediC bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR 3 Jun - UMediC Group Bhd. (UMC) menandatangani perjanjian taja jamin dengan Affin Hwang Investment Bank Bhd. (AHIBB) bagi tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

AHIBB merupakan penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal dalam langkah tersebut yang membabitkan terbitan awam 97.22 juta saham baharu UMC.

 

Syarikat telah menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd. (Bursa Securities) untuk menyertai Senarai Rasmi Bursa Securities dan penyenaraian dan sebut harga bagi keseluruhan modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan terdiri daripada 373.91 juta saham di Pasaran ACE. 

 

Untuk itu, AHIBB merupakan penaja jamin tunggal sehingga 31.78 juta saham yang disediakan untuk permohonan oleh orang ramai dan pengarah, pekerja dan rakan perniagaan UMC yang layak.

 

 

Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas UMC, Datuk Ng Chai Eng (dari kiri) bersama Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif UMC, Lim Taw Seong; Ketua Pegawai Eksekutif AHIBB, Mona Suraya Kamaruddin dan Pengerusi/Pengarah Bukan Eksekutif Bebas AHIBB, Tunku Afwida Tunku A.Malek pada majlis menandatangani perjanjian taja jamin antara kedua-dua pihak, hari ini.
Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas UMC, Datuk Ng Chai Eng (dari kiri) bersama Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif UMC, Lim Taw Seong; Ketua Pegawai Eksekutif AHIBB, Mona Suraya Kamaruddin dan Pengerusi/Pengarah Bukan Eksekutif Bebas AHIBB, Tunku Afwida Tunku A.Malek pada majlis menandatangani perjanjian taja jamin antara kedua-dua pihak, hari ini.

 

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif UMC, Lim Taw Seong berkata, perjanjian taja jamin yang dimeterai itu melambangkan peristiwa penting bagi syarikat dan mendorongnya untuk menjadi syarikat tersenarai.

 

"Kami menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai pengedar alatan perubatan dalam pasaran tempatan dan pengeluar bahan guna perubatan untuk diedarkan di pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

UMC memasarkan dan mengedarkan pelbagai peranti perubatan berjenama dan bahan guna guna serta penyediaan perkhidmatan selepas jualan untuk semua produknya. 

 

Kumpulan juga terlibat dalam pembangunan, pembuatan dan pemasaran bahan guna perubatannya. Dengan kehadiran dalam pasaran kira-kira 20 tahun, UMC telah memantapkan diri mereka sebagai pengedar peranti perubatan dan bahan habis pakai yang bereputasi.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AHIBB, Mona Suraya Kamaruddin berkata, pihaknya berbesar hati dapat memainkan peranan penting dalam penyenaraian UMC. 

 

"Kami juga menghargai peluang yang diberikan oleh UMC dan berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan kumpulan yang penuh bersejarah," katanya. - DagangNews.com