UMS bantu proses pendigitalan maklumat spesis tumbuhan di Pusat Kebudayaan Walai Tobilung | DagangNews Skip to main content

UMS bantu proses pendigitalan maklumat spesis tumbuhan di Pusat Kebudayaan Walai Tobilung

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KOTA MARUDU 19 Mei - Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya merekodkan sejumlah 15 spesies tumbuhan rintis taman botani di Pusat Kebudayaan Walai Tobilung secara digital menerusi Projek QR Code UMS 2.0.

 

Projek itu diketuai Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS, Dr. Jurry Foo dengan kerjasama Kumpulan QR Code Project UMS 2.0, Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) dan pusat kebudayaan.

 

Jurry berkata, projek itu juga menjadi pendedahan dan latihan kepada pelajar di bawah seliaannya untuk menggunakan ilmu pengetahuan yang dipelajari di universiti kepada masyarakat setempat.

 

“Kesemua 15 kod QR itu serta maklumat tumbuhan yang dihasilkan peserta telah dimuat naik di laman Facebook Walai Tobilung.

 

“Semoga kemahiran dan pengetahuan asas yang diperolehi melalui program ini dapat digunakan komuniti untuk merekod spesies tumbuhan lain yang ada di pusat kebudayaan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Jurry berkata, beliau sedang dalam usaha mendapatkan dana untuk merealisasikan lebih banyak siri QR Code Project dan pada waktu ini hanya menggunakan dana peribadi bagi menampung projek berkenaan.

 

Sementara itu, Pengasas Pusat Kebudayaan Walai Tobilung, Janes Kansirong gembira dengan kejayaan penganjuran projek QR Code UMS 2.0 yang disertai warga pusat kebudayaan berkenaan.

 

“Saya percaya, ini mampu memberikan nilai tambah kepada Walai Tobilung yang kebetulan sedang dalam penilaian untuk membantu negeri ini mendapat pengiktirafan Geopark Kinabalu oleh UNESCO.

 

“Sebenarnya QR Code Project UMS 1.0 yang dijalankan Dr. Jurry dan kumpulan pelajarnya di Taman Budaya dan Inovasi Kundasang menarik perhatian saya untuk melabelkan spesies tumbuhan di sini menggunakan teknik yang sama," katanya. - DagangNews.com