Undi 18: Kerajaan ingin beri kuasa besar kepada anak muda - PM | DagangNews Skip to main content

Undi 18: Kerajaan ingin beri kuasa besar kepada anak muda - PM


KUALA LUMPUR 20 Okt - Kerajaan ingin memberikan kuasa yang besar kepada anak muda di negara ini,  justeru itu kerajaan memberi taruhan kepada Undi 18, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, pelaksanaan Undi 18 itu membuktikan keyakinan kerajaan kepada anak muda dalam menyertai proses pembangunan negara.

 

Ismail Sabri yang mengadakan perjumpaan dengan perwakilan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada Selasa, berkata beliau telah berkongsi pandangan serta pelan tindakan untuk penambahbaikan. 

 

"Alhamdulillah, banyak input menarik yang telah saya terima hari ini terutama yang diutarakan oleh Presiden MPPK Amir Asyraf sendiri.

 

"Insya-Allah, kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan daripada anak muda," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook hari ini. Turut hadir pada perjumpaan itu Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

 

Ismail Sabri berkata MPPK, yang kini dianggotai 41 pemimpin pelajar mewakili 41 universiti di seluruh negara, bukanlah sekadar simbol kepada kesatuan pelajar institusi pengajian tinggi malah memainkan peranan penting dalam membuka ruang dan mewujudkan komunikasi dua hala antara pelajar dan kerajaan.


 

PM
Perdana Menteri dan Dr Noraini Ahmad bergambar bersama Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada Selasa. - Gambar Kementerian Pengajian Tinggi

 


Beliau  yang pernah menjadi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya sesi 1982/1983 percaya akan ada antara anak muda yang ditemuinya hari ini menjadi pemimpin besar negara suatu hari nanti.

 

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya pada 31 Dis tahun ini seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching. - DagangNews.com