Unique Fire sasar kumpul RM21.78 juta daripada IPO | DagangNews Skip to main content

Unique Fire sasar kumpul RM21.78 juta daripada IPO

Liew Sen Hoi (enam dari kiri) pada majlis pelancaran prospektus IPO syarikat itu hari ini.

KUALA LUMPUR 29 Jun - Unique Fire Holdings Bhd (Unique Fire) menyasar untuk mengumpul RM21.78 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) berikutan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia yang dijadualkan pada 5 Ogos.

 

Syarikat pegangan pelaburan itu terlibat dalam pemasangan, pengedaran dan pembuatan perlindungan kebakaran aktif sistem, peralatan dan aksesori.

 

Pengarah Urusannya, Liew Sen Hoi berkata, daripada hasil yang diperoleh, RM2.5 juta akan diperuntukkan untuk pembesaran kemudahan pembuatan.

 

"Kami akan mengembangkan kemudahan pembuatan kami dengan memasang dua barisan pembuatan silinder pemadam api kimia kering mudah alih baharu, yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran semasa kami iaitu 210,000 unit, sebanyak lebih 220%," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran prospektus IPO syarikat itu hari ini.

 

Liew berkata, sejumlah RM6 juta akan digunakan bagi menubuhkan pejabat jualan dan gudang baharu di Johor dan Pulau Pinang, serta meningkatkan aktiviti pengiklanan dan pemasaran syarikat, termasuk menyertai pameran di pasaran tempatan dan antarabangsa.

 

“Kami juga telah memperuntukkan RM5.3 juta bagi meningkatkan lagi keupayaan operasi  dengan pengembangan kapasiti kawasan storan selain melaksanakan sistem pengurusan gudang, serta menambah baik sistem teknologi maklumat  untuk memastikan operasi kami berjalan lancar dan cekap,” tambah beliau.

 

Di samping itu, RM4.58 juta akan diketepikan untuk modal kerja dan baki RM3.4 juta akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

 

Pengarah Eksekutif Datuk Marcus Liew pula berkata, syarikat itu secara beransur-ansur akan menerokai pasaran antarabangsa dan berharap dapat menembusi pasaran-pasaran eksport.

 

"Antara strateginya termasuk pematuhan kepada Standard British yang ketat yang akan membolehkan Unique Fire mengeksport ke kebanyakan negara komanwel," katanya.

 

Mengenai prospek syarikat, Marcus berkata, syarikat itu optimis mencatatkan pertumbuhan yang mampan pada tahun-tahun mendatang, disokong oleh asas perniagaannya yang kukuh.

 

Sementara itu, IPO Unique Fire terdiri daripada terbitan awam sebanyak 83.75 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 30 juta saham sedia ada.

Pada harga terbitan 26 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 400 juta saham, syarikat itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM104 juta selepas penyenaraiannya, lapor Bernama.

 

Permohonan untuk terbitan awam dibuka hari ini dan akan ditutup pada 22 Julai 2022. - DagangNews.com