Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Penutupan kilang Unisem (M) Bhd. sekali lagi dijangka terus menjejaskan pengeluarannya dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Semalam, Unisem dalam makluman di Bursa Malaysia berkata, Kementerian Kesihatan mengarahkan penutupan kilangnya di Ipoh, Perak selama 7 hari bermula 8 hingga 15 September 2021.
Penyedia perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor global itu menganggarkan ia akan berdepan kerugian pengeluaran sebanyak 2% daripada jumlah pengeluaran tahunan ekoran penutupan tersebut.
Ini adalah penutupan kali kedua, setelah operasi kilangnya terpaksa dihentikan sementara susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Ipoh, Julai lalu.
Penganalisis CGS-CIMB, Mohd Shanaz Noor Azam berkata, bagaimanapun, ia kekal berhati-hati dan optimistik yang Unisem akan mencapai semula pengeluarannya pada suku keempat apabila kadar vaksinasi di Perak semakin meningkat.
"Namun, dengan penutupan kilang di Ipoh, ini bermakna terdapat kelewatan dalam pengeluaran bagi penguat-kuasa frekuensi radio (RF) dan program modul multi-chip kepada pelanggan utamanya," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Kilang Unisem di Ipoh sekali lagi ditutup sementara
Ketika pembentangan prestai kewangan Unisem bagi suku kedua 2021 pada 30 Julai lalu, kumpulan menganggarkan pertumbuhan jualan antara 5 hingga 8% suku ke suku pada suku ketiga di sebalik penutupan kilang selama 11 hari ekoran PKPD.
Bagaimanapun, menurut beliau, dengan penutupan kilang dan jumlah pekerja yang terhad akan menyaksikan jualan bagi suku ke suku yang lebih rendah atau mendatar pada suku ketiga ini.
Pada masa sama, katanya, sumbangan kukuh menerusi operasi Unisem Chengdu Co. Ltd. di China, akan mengimbangi sebahagian kesan jangka pendek daripada penutupan kilang di Ipoh.
"Kami menjangkakan sumbangan pendapatan menerusi Chengdu ini akan mengatasi operasi di Ipoh dengan merangkumi kira-kira 55 hingga 60% daripada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2021," tambahnya.
Mohd. Shanaz menjangkakan sektor pembuatan akan terus berdepan dengan penutupan sementara kilang selagi penularan jangkitan COVID-19 masih tinggi di seluruh negara.
"Tetapi, kami berharap tempoh penutupan kilang ini boleh dipendekkan apabila syarikat meningkatkan kekerapan pemeriksaan dan proses sanitasi bagi meminimumkan gangguan terhadap pengeluaran," jelasnya.
Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' ke atas saham Unisem dengan harga sasaran tidak berubah pada RM10.50.
Setakat 9.59 pagi, saham Unisem menokok 5 sen kepada RM8.54 dengan 21,800 saham diniagakan. - DagangNews.com