Unit Sedania berminat dapatkan lesen bank Islam digital  | DagangNews Skip to main content

Unit Sedania berminat dapatkan lesen bank Islam digital 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Unit Sedania Innovator Bhd, Sedania As Salam Capital Sdn Bhd (SASC) menandatangani memorandum persefahaman dengan FCA Capital Sdn Bhd dalam usaha mendapatkan lesen bank Islam digital dari Bank Negara Malaysia (BNM).

 


Ketua Pegawai Eksekutif SASC, Khairul Nisa Ismail berkata, FCA akan bertindak sebagai penasihat kewangan untuk sebuah konsortium yang mengemukakan tawaran untuk kelulusan lesen bank Islam digital dari BNM.



Katanya, keputusan bagi lesen bank Islam digital dijangka akan diumumkan pada suku pertama 2022.

 

"Tertakluk kepada persetujuan daripada pihak berkuasa yang berkenaan, konsortium tersebut berhasrat untuk menjalankan operasi perbankan digital di rantau ini dengan penekanan pada konsep wakaf.

 

"SASC telah berkhidmat kepada lebih 70 institusi kewangan dengan lebih daripada RM60 bilion pinjaman yang diproses hingga kini dan kami melihat adanya permintaan yang banyak bagi penyelesaian digital dalam perkhidmatan kewangan Islam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, permintaan yang semakin meningkat itu diharapkan dapat berlanjutan memandangkan terdapat perubahan besar dalam penggunaan perbankan digital susulan pandemik COVID-19.  

 

"Keadaan ekonomi yang mencabar memberi peluang kepada perkhidmatan patuh syariah untuk berkembang kerana lebih banyak perniagaan mencari dana yang telus dan beretika untuk melindungi pelaburan mereka.

 

"Ini memberi jalan strategik kepada SASC untuk terus memperkuat kedudukan kami sebagai salah satu penyedia fintech Islam di rantau ini," katanya. -DagangNews.com