Unit Transformasi Masyarakat India kini diletakkan di bawah JPM | DagangNews Skip to main content

Unit Transformasi Masyarakat India kini diletakkan di bawah JPM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Pelancaran Bridged MIC Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 18 September 2022. - Gambar BN Comms

KUALA LUMPUR 18 Sept - Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kini diletakkan di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Serentak itu Perdana Menteri berkata kerajaan juga meluluskan penubuhan Yayasan MITRA.

 

"Sebagaimana permintaan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, suka saya umumkan MITRA kini diletakkan di bawah pentadbiran JPM dan diluluskan penubuhan Yayasan MITRA bagi menjaga kebajikan masyarakat India di negara ini," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bridged MIC Kebangsaan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini, menurut laporan Berita Harian.

 

Sebelum ini, MITRA diletakkan di bawah pentadbiran Kementerian Perpaduan Negara.

 

Yang turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran serta Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S Saravanan.


 

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 


Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi membantu pelajar India dalam kalangan keluarga miskin tegar.

 

"Lain-lain permintaan MIC akan saya bawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pembangunan Masyarakat India untuk dipertimbangkan," katanya.

 

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pentadbiran beliau tidak akan sama sekali meminggirkan masyarakat India.

 

"Komuniti India tidak akan dipinggirkan dalam arus pembangunan negara dan mengambil semangat keluarga Malaysia tiada yang akan dibiarkan tertinggal di belakang," katanya.

 

Justeru, katanya kerajaan sudah meluluskan pelbagai peruntukan untuk masyarakat India di negara ini termasuk RM100 juta menerusi MITRA bagi pembasmian kemiskinan dan pembangunan sosial.


 

PM

 


"Sebanyak RM100 juta juga diberikan bagi unit pembangunan usahawan dan kerjaya, geran modal insan dan kerohanian serta kebajikan masyarakat India, selain pembangunan pendidikan dan sosio ekonomi.

 

"Sebanyak RM25 juta juga diberikan melalui Skim Pembangunan Usahawan masyarakat India," katanya.

 

Ismail Sabri juga memberikan komitmen lebih banyak peruntukan untuk pembangunan masyarakat orang India akan diumumkan dalam Belanjawan 2023. - DagangNews.com