Skip to main content

Universiti Malaya di tangga ke-9 terbaik di Asia

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Buat julung-julung kalinya, 10 universiti tempatan iaitu tujuh universiti awam dan tiga universiti swasta kini berada dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia, menurut penarafan paling terbaharu Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Asia 2021.

 

Daripada semua itu, Universiti Malaya (UM) mendahului lain-lain universiti di tempat kesembilan, diikuti Universiti Putra Malaysia (ke-28), Universiti Sains Malaysia (ke-34), Universiti Kebangsaan Malaysia (ke-35), Universiti Teknologi Malaysia (ke-39), Universiti Teknologi PETRONAS (ke-70), Universiti Taylor's (ke-89), Universiti UCSI (ke-105), Universiti Utara Malaysia (ke107) dan Universiti Teknologi MARA (ke-108).

 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, kejayaan ini merupakan kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan bahawa hala tuju Pendidikan Tinggi Negara berada di atas landasan yang betul.

 

NorainiAhmad
Noraini Ahmad

 

Menurut beliau, tahun 2020 merupakan separuh penggal pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPMPT) dan telah menunjukkan peningkatan kualiti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh yang singkat.

 

Katanya, kejayaan ini juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia ini dan juga dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia.

 

UM buat kali pertama telah berjaya disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik di Asia dalam penarafan kali ini dengan mendapat tempat ke-9 berbanding tempat ke-13 pada penarafan tahun lepas. UM juga telah berjaya mengatasi Shanghai Jiao Tong University yang menduduki tempat-10 dalam penarafan tahun ini.

 

Shang Jiao Tong University merupakan universiti terkemuka yang telah memperkenalkan Academic Ranking of World Universities atau lebih dikenali sebagai Shanghai Jiao Tong University Rankings yang menilai kekuatan penyelidikan universiti di seluruh dunia.

 

Laporan tersebut turut menyenaraikan UM, UPM, USM, UKM UTM, UUM dan UiTM serta tiga buah universiti swasta iaitu Universiti Teknologi PETRONAS, Universiti Taylor's dan Universiti UCSI sebagai 110 universiti terbaik Asia atau 10 universiti terbaik Malaysia.

 

Pada siri penarafan kali ini, 35 universiti tempatan telah tersenarai iaitu dengan pertambahan 6 universiti baharu berbanding dengan 29 universiti yang tersenarai pada tahun lepas. 24 universiti telah berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas, 3 universiti mengekalkan kedudukan dan 2 universiti jatuh dari kedudukan tahun lepas.

 

Dalam Laporan Quacquarelli Symonds (QS) juga dinyatakan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik di dalam penarafan kali ini. Sistem pendidikan negara telah diterima sebagai bereputasi tinggi di kalangan akademik dan majikan di peringkat Asia, kata Noraini. - DagangNews.com

aaa

 

aaa