Universiti Malaysia Sabah hasilkan produk ayam pedaging tongkat ali | DagangNews Skip to main content

Universiti Malaysia Sabah hasilkan produk ayam pedaging tongkat ali

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PENAMPANG 16 Ogos - Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menghasilkan produk A-yamli, sebuah inovasi terhadap ayam pedaging komersial yang menggunakan ekstrak Tongkat Ali sebagai sebahagian diet pemakanannya.

 

Penyelidikan itu dimulakan pada tahun 2011 bagi menghasilkan kualiti daging ayam yang lebih premium dan sihat tanpa bergantung penuh kepada ubat-ubatan seperti antiobitik dan vaksin.

 

Terdahulu, majlis pelancarannya disempurnakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Ir. Prof. Dr. Rosalam Sarbatly di pasar raya Pick N Pay, di sini baru-baru ini.

 

Menurut Rosalam, menerusi kajian dan fasa pra pengkomersialan di lapangan, terbukti Tongkat Ali dapat menjadikan ayam pedaging lebih aktif, mengurangkan kadar kematian dan bau reban ayam, serta menunjukkan kurangnya kehadiran lalat pada najis ayam.

 

“Hasil kajian juga mendapati bahawa kandungan protein pada ayam pedaging ini lebih tinggi manakala lemaknya pula kurang. Penggunaan Tongkat Ali kepada ayam pedaging ini juga menyebabkan isi atau daging ayam lebih pejal dan mempunyai rasa tersendiri.

 

“Semua ujian dan pra pengkomersialan telah dilakukan di Sabah dan Brunei yang akhirnya membawa kepada pengkomersialan A-yamli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Turut hadir, Pengarah Urusan Petrogaya Sdn. Bhd., Mazali Rajang; Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan UMS, Prof. Madya Dr. Jidon @Adrian Janaun; Dekan FPT UMS, Prof. Madya Dr. Normah Awang Besar@Raffie dan Ketua Jualan dan Barangan CCV Retail Sdn. Bhd, Lin Shih Lung.

 

 

UMS
Ir. Prof. Dr. Rosalam Sarbatly (kanan) menunjukkan produk A-yamli hasil inovasi UMS. Turut kelihatan, Mazali Rajang (dua dari kanan).

 

 

Untuk rekod, produk A-Yamli turut dinobatkan sebagai pemenang pingat emas di Seoul International Invention Fair pada 2013.

 

Sementara itu, Rosalam turut manzahirkan ucapan terima kasih kepada syarikat Petrogaya Sdn. Bhd. kerana berkolaborasi dengan UMS dalam mengkomersialkan produk berkenaan.

 

 

UMS

 

 

“Sebagai hala tuju dan kelestarian, UMS juga sentiasa memantau keberkesanan projek pengkomersialan ini melalui syarikat milikan penuh universiti iaitu UMS Investment Holdings Sdn Bhd.

 

“Produk ayam premium A-yamli kini boleh diperoleh di pasar raya Pick N Pay Plaza 333, Penampang. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada penyelidik Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), Ag. Ahmad Mohd. Yunus atas kejayaan menghasilkan inovasi yang berimpak tinggi ini," katanya. - DagangNews.com