Unjuran KDNK 2021 disemak semula - Firma | DagangNews Skip to main content

Unjuran KDNK 2021 disemak semula - Firma

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Mei - Meskipun penganalisis sebelum ini mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 yang lebih baik, namun pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai 12 Mei lalu, dilihat boleh menjejaskan prospek pertumbuhan.

 

Pada suku pertama tahun ini, ekonomi menguncup 0.5% ekoran PKP 2.0 yang diadakan awal tahun, tetapi lebih kecil berbanding penguncupan 3.4% pda suku keempat 2020. 

 

CGS-CIMB bagaimanapun, masih berharap ekonomi Malaysia akan mencatat pertumbuhan bagi suku seterusnya di sebalik PKP 3.0 dan juga peningkatan kes jangkitan COVID-19. 

 

"Faktor ini secara tidak langsung akan memberi risiko penurunan kepada unjuran KDNK tahun ini yang kami jangkakan berkembang 5.7%," katanya dalam nota kajian. 

 

Jelas firma itu, hasil data pada suku pertama menunjukkan kerugian ekonomi harian di bawah PKP 2.0 adalah lebih rendah berbanding jangkaan kerajaan, sebanyak RM300 juta yang mana ia meletakkan pemulihan yang lebih kukuh bagi suku kedua.

 

Tetapi, katanya, pemulihan ekonomi terhalang ekoran pelaksanaan MCO 3.0 dan penguatkuasaan yang lebih ketat untuk meratakan keluk COVID-19.

 

"Kami menjangkakan sektor peruncitan, makanan dan minuman serta pelancongan kekal berdepan tekanan manakala segmen perkhidmatan lain seperti komunikasi dan kewangan akan berkembang pantas," katanya.

 

Baca : Ekonomi suku pertama menguncup 0.5% akibat PKP 2.0

 

Pada Khamis, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berdasarkan prestasi bulanan KDNK, kesan awal pelaksanaan PKP 2.0 menyebabkan pertumbuhan pada Januari menyusut sebanyak 3.5%, disusuli dengan penguncupan sebanyak 3.6% pada Februari.

 

Pertumbuhan KDNK pada Mac melonjak sebanyak 6%, iaitu nilai yang tertinggi sejak Mac 2020.

 

Ini menggambarkan hasil dan impak positif melalui langkah segera kerajaan dalam melaksanakan pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion pada Januari dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion pada pertengahan Mac lalu.

 

Sementara itu, Kenanga Research mengekalkan unjuran KDNK tahun ini pada 6.5% tetapi menyemak turun ekonomi pada suku kedua kepada 14.1% berbanding 14.3% sebelum ini.

 

Walaupun impak kepada ekonomi adalah minimum, tetapi peningkatan jangkitan COVID-19 masih kekal membimbangkan, sekali gus boleh memberi risiko kepada pemulihan ekonomi. 

 

"Tetapi, program vaksin dan sokongan dasar secara berterusan oleh kerajaan dijangka meningkatkan sentimen pengguna dan menyediakan sokongan kepada permintaan domestik pada separuh kedua 2021. 

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan separuh kedua yang kukuh pada 6.4% berbanding 6.2% bagi separuh pertama tahun ini," katanya. 

 

Menurutnya, jika PKP 3.0 yang dilaksanakan ketika ini gagal mengekang penularan wabak COVID-19, Malaysia kemungkinan diletakkan semula di bawah PKP 1.0 yang ketat. 

 

"Jika ini berlaku lagi, kami percaya Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menyemak semula kadar dasar semalaman (OPR) dengan mengurangkan 25 mata asas memandangkan bank pusat mempunyai ruang untuk berbuat demikian pada separuh kedua tahun ini. 

 

"Namun, kami percaya sebelum BNM mengambil langkah monetari ini, kami jangka kerajaan mungkin mempertimbangkan pilihan untuk melaksanakan satu lagi pakej rangsangkan bagi menyokong ekonomi," jelas firma itu.

 

 

BNM

 

 

AmBank Research pula menyemak turun KDNK 2021 setelah mengambil kira pertumbuhan suku kedua yang lebih mencabar ekoran PKP 3.0. 

 

Jelasnya, peningkatan kes jangkitan dan langkah sekatan yang dilaksanakan terus memberi risiko penurunan kepada pertumbuhan.

 

Ini ditambah pula dengan maklumat yang kurang jelas dan telus menerusi Sistem amaran awal Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bermula 7 Mei lalu.

 

Firma itu menyifatkan mereka yang tersenarai di dalam sistem HIDE tidak semestinya bermaksud bahawa premis perniagaan mereka menghadapi risiko lebih tinggi mendapat jangkitan daripada yang lain.

 

"Sistem HIDE yang kurang jelas beserta pelaksanaan PKP 3.0 akan menyebabkan lebih banyak perniagaan berisiko jatuh bankrap dan gulung tikar. 

 

"Selain itu, ia juga menambah tekanan kepada pendapatan isi rumah dan pekerjaan terutama bagi mereka di bawah kategori B40 dan kategori rendah bagi M40," katanya. 

 

Oleh itu, AmBank Research mengunjurkan ekonomi suku kedua lebih rendah sekitar 9 hingga 12% dengan KDNK 2021 disemak turun antara 0.5 hingga 5.5% (kes asas) manakala kenaikan turut dikurangkan antara 1 hingga 6%. 

 

Unjuran pertumbuhan juga disemak semula kepada 4.5% berbanding 5% sebelum ini, menurutnya. - DagangNews.com