Unjuran KDNK 2021 kekal 4.6%, penularan varian Delta jadi risiko - MIDF | DagangNews Skip to main content

Unjuran KDNK 2021 kekal 4.6%, penularan varian Delta jadi risiko - MIDF

Malaysia. Gambar oleh Wengang Zhai-Unsplash

Gambar oleh Wengang Zhai-Unsplash

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi tahun 2021 dikekalkan 4.6%.

 

MIDF Research berkata, pengekalan tersebut bagaimanapun dibuat bersama risiko penurunan terhadap prospek pertumbuhan susulan daripada lanjutan tempoh 'lockdown' selain kehadiran varian Delta.

 

"Ketika ini kami mengekalkan unjuran KDNK 2021 sebanyak 4.6% bersama risiko penurunan terhadap prospek pertumbuhan daripada lanjutan sekatan pergerakan selain kemungkinan keadaan COVID-19 yang semakin memburuk akibat daripada penularan varian Delta," jelas MIDF Research dalam nota kajiannya hari ini.

 

Dalam nota kajian berkaitan prestasi ekonomi bulanan itu menunjukkan indeks pelopor Malaysia meningkat dengan kadar yang perlahan sebanyak 0.5% tahun ke tahun pada Jun 2021.

 

Selain itu, eksport pula menunjukkan prestasi yang lemah pada Julai dengan jumlah perdagangan Malaysia hanya tumbuh pada kadar perlahan iaitu 13% tahun ke tahun pada Julai 2021.

 

Situasi itu disebabkan oleh eksport yang lemah dengan penyusutan -7.7% berbanding bulan sebelumnya.

 

Tambah MIDF Research lagi, lanjutan tempoh 'lockdown' meningkatkan risiko kepada pertumbuhan suku ketiga 2021 untuk kembali kepada pertumbuhan negatif.

 

Nota kajian itu memberitahu, sekatan pergerakan yang lebih ketat akan terus mengekang aktiviti perniagaan dan pengguna domestik.

 

"Namun, kami optimis bahawa perkembangan semasa vaksinasi negara akan membantu mengurangkan tekanan terhadap sektor penjagaan kesihatan dan meningkatkan keyakinan untuk mencapai imuniti kelompok menjelang suku keempat tahun ini.

 

"Beberapa buah negeri juga sudah beralih ke fasa seterusnya di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), sekatan pergerakan dilonggarkan berperingkat selain pemangkin ekonomi daripada mereka yang sudah menerima dua dos vaksin.

 

"Kelonggaran sekatan pergerakan serta potensi lonjakan permintaan akan menyokong ekonomi untuk terus pulih bermula suku keempat 2021 hingga tahun 2022," jelas MIDF Research lagi. - DagangNews.com