Unjuran TIV automotif 2021 melonjak kepada 570,000 | DagangNews Skip to main content

Unjuran TIV automotif 2021 melonjak kepada 570,000

sektor automotif

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Pengenalan pakej rangsangan ekonomi membantu lonjakan semula pasaran automotif negara.

 

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, perkara itu secara tidak langsung mengheret peningkatan sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) yang lebih tinggi pada 2021 berbanding tahun sebelumnya.

 

"TIV bagi tahun ini diunjurkan sebanyak 570,000 unit, peningkatan 8% atau 40,566 unit berbanding 2020.

 

"Daripada jumlah itu, sebanyak 513,000 unit adalah daripada kenderaan penumpang manakala 57,000 unit lagi adalah kenderaan komersial," katanya selepas membentangkan laporan keputusan industri automotif tempatan 2020 secara maya, seperti dilapor Berita Harian.

 

MMA turut optimis terhadap pasaran automotif tempatan yang akan kembali melonjak pada 2021.

 

Penilaian terhadap faktor persekitaran turut diambil kira dalam membuat unjuran tersebut.

 

Katanya, lonjakan pasaran automotif 2021 didorong oleh pemulihan ekonomi global dan dalam negara, lanjutan pengecualian cukai hingga 30 Jun serta kadar pinjaman sewa beli yang lebih rendah.

 

Selain itu, kemunculan model baharu dengan spesifikasi tambahan terkini, reka bentuk menarik dan harga yang lebih kompetitif mampu menarik minat pembelian.

 

Tahun lalu, prestasi jualan dilihat merosot apabila hanya mencatatkan TIV sebanyak 529,434 unit.

 

Jumlah tersebut adalah 12.4% atau 74,847 unit lebih rendah berbanding 604,287 unit yang dicapai pada 2019.

 

"Meskipun TIV mengalami penurunan sebanyak dua angka, ia pencapaian yang baik buat industri ekoran persekitaran perniagaan yang amat mencabar.

 

"TIV 2020 ini juga adalah adalah jauh lebih tinggi daripada unjuran yang dibuat MAA sendiri iaitu sebanyak 470,000 unit. 

 

"Pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan berkuatkuasa dari 15 Jun 2020 merangsang permintaan dan memacu jualan pada separuh kedua tahun lalu," tambah beliau lagi. - DagangNews.com