Skip to main content

Untung bersih 1QFY22 MISC turun 12.42% kepada RM376.4 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mei - Untung bersih MISC Berhad suku pertama berakhir 31 Mac 2022 menurun sebanyak 12.42% kepada RM376.4 juta berbanding RM429.8 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, keuntungan operasi kumpulan bagaimanapun melonjak 11.4% lebih tinggi iaitu RM516.9 juta berbanding sebelum RM463.8 juta sebelum ini disumbang oleh segmen aset gas, penyelesaian dan kejuruteraan.

 

Dalam tempoh tiga bulan itu, pendapatan kumpulan adalah 12.9% lebih tinggi iaitu RM2.87 bilion berbanding RM2.54 bilion pada 1QFY21 dan aliran tunai yang terhasil daripada aktiviti operasi adalah sebanyak RM461.6 juta termasuk pembayaran tunai sebanyak RM687.5 juta untuk pembinaan kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemindagan apungan (FSPO).

 

Presiden MISC dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Yee Yang Chien berkata, kumpulan itu berjaya menghasilkan aliran tunai operasi sebanyak RM1.15 bilion atau 31.5% dari tahun ke tahun tidak termasuk pembayaran kesan daripada prestasi operasi yang cemerlang.

 

"Keputusan kewangan suku pertama MISC yang kukuh untuk tahun 2022 adalah bukti pelaksanaan strategi kami yang berdisiplin, daya tahan dan keupayaan kami untuk mengekalkan momentum pertumbuhan.

 

"Keputusan itu meletakkan kami di landasan progresif dalam memastikan kejayaan pelaksanaan dan penyampaian projek berterusan kami sambil kami terus bergerak ke persekitaran makroekonomi yang mencabar," katanya.

 

Beliau berkata, pendapatan daripada segmen gas dan penyelesaian kekal stabil kesan daripada perjanjian jangka panjang dan potensi untuk berkembang.

 

Pada masa sama, pasaran perkapalan petroleum disokong oleh perubahan dalam corak perdagangan minyak mentah berikutan konflik Rusia-Ukraine yang berterusan, yang mengakibatkan peralihan kepada laluan jarak jauh.

 

"Bagaimanapun, terdapat risiko trend penurunan dalam ekonomi global terutamanya daripada penutupan di China yang akan menjejaskan lagi import minyak mentah China," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, sub segmen marin dijangka pulih secara berperingkat pada 2022 selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa.

 

Pada masa sama, tiada lagi larangan kemasukan pakar dari luar dan ia dijangka membantu mendapatkan projek daripada pelanggan luar negara. - DagangNews.com