Untung bersih Astro melonjak lebih 90% | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Astro melonjak lebih 90%

 

 

KUALA LUMPUR 22 Jun - Untung bersih Astro Malaysia Holdings Berhad bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2022 meningkat 91% kepada RM141.25 juta berbanding RM73.84 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Perolehan bagi tempoh itu juga meningkat kepada RM1.06 bilion berbanding tempoh sama sebelumnya, RM1.05 bilion.

 

Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, di sebalik fasa penutupan atau ‘lockdown’ yang dikuatkuasakan semula, Astro tetap memperlihatkan pemulihan kukuh pada suku tahun pertama ini.

 

"Malah, Astro terus menjana pendapatan tunai, mampu mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif dari aspek pengurusan modal syarikat. 

 

"Sehubungan itu, pihak lembaga pengarah dengan ini mengumumkan dividen interim pertama bernilai 1.5 sen sesaham," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagi tempoh itu, perbelanjaan pengiklanan (adex) mencatatkan pemulihan dengan meningkat 21% tahun ke tahun kepada RM109 juta, mengungguli pertumbuhan industri pengiklanan yang berkembang pada kadar 9%.

 

Ini disokong oleh program-program vernakular yang bersiaran secara langsung dan rancangan Astro Originals yang amat menarik.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, kumpulan akan terus melaksanakan strategi yang dirancang syarikat. 

 

Pada Jun, katanya, syarikat memperkenalkan dua platform perkhidmatan penstriman, sooka yang menyajikan acara sukan berprestij secara langsung dan program-program tempatankhususnya buat golongan milenia, serta Disney+ Hotstar yang menawarkan kandungan menarik pada nilai yang amat berpatutan. 

 

“Sehingga hari ini, Ultra dan Ulti Box kami telah berada di lebih dari 300,000 buah rumah dan menawarkan pengalaman tontonan terhebat buat para pelanggan kami. 

 

"Dalam pada itu, Astro GO, terus mempertingkatkan perkhidmatannya menerusi ‘pra-akses’ dan ciri-ciri ‘muat turun’, kini merekodkan sebanyak 1.4 juta pengguna aktif pada setiap bulan dengan kadar purata tontonan
selama 213 minit pada setiap minggu," katanya.

 

Beliau berkata, jumlah tontonan video di platform On Demand yang distrim pelanggan meningkat sebanyak tiga kali ganda kepada 100 juta. 

 

Perkhidmatan jalur lebar turut merekodkan pertumbuhan lebih daripada 80% dari tahun ke tahun, apabila ramai di antara pelanggan Astro menggabungkan pakej jalur lebar bersama kandungan yang ditawarkan bagi mendapat lebih nilai dan memudahkan urusan masing-masing. - DagangNews.com