Untung bersih Astro Q2 susut 35% kepada RM87.13 juta  | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Astro Q2 susut 35% kepada RM87.13 juta 

 

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Untung bersih Astro Malaysia Holdings Bhd. bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2021 susut 34.8% kepada RM87.13 juta berbanding RM133.65 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Perolehan bagi tempoh itu juga susut kepada RM1.06 bilion berbanding RM1.09 bilion tahun lalu. 

 

Bagaimanapun keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagi separuh pertama tahun kewangan itu meningkat kepada RM228.37 juta berbanding RM207.49 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala perolehan pula sebanyak RM2.12 bilion, lebih rendah daripada tempoh sebelumnya, RM2.14 bilion.

 

Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, prestasi kewangan Astro bagi separuh pertama kekal kukuh di sebalik pelaksanaan sekatan pergerakan yang berpanjangan. 

 

"Astro meneruskan langkah menjana tunai, mendisiplinkan kos dan mengambil langkah proaktif bagi pengurusan modal. 

 

"Oleh itu, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.5 sen sesaham," katanya dalam kenyataan di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Perbelanjaan pengiklanan (adex) pula berkembang 22% tahun ke tahun kepada RM209 juta bagi tempoh separuh pertama, mengatasi pertumbuhan industri pengiklanan pada 11%.

 

Bagaimanapun, adex bagi suku kedua susut 9% suku ke suku dengan bahagian radio, televisyen dan digital masing-masing kekal pada 77%, 36% dan 3%.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Henry Tan berkata, walaupun Astro merekodkan peningkatan 10% PATAMI bagi tempoh separuh pertama ini, tetapi sekatan pergerakan dan kos kandungan yang tinggi daripada siaran Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan UEFA EURO 2020 menjejaskan untung bersih pada suku kedua. 

 

"Namun, kami akan bergerak ke hadapan menerusi pelan transformasi dan aspirasi kami untuk muncul sebagai pengagregat perkhidmatan penstriman nombor satu," jelasnya. 

 

Menurut beliau, Astro setakat ini telah mendaftarkan sebanyak satu juta perkhidmatan kotak bersambung atau ‘connected box’ yang digunakan pelanggan, dan lebih daripada 400,000 menggunakan perkhidmatan Ultra dan Ulti Box termasuklah dengan kotak pemasangan sendiri yang baharu sahaja dilancarkan baru-baru ini, Ultra Plug & Play Box yang berfungsi sepenuhnya menggunakan jalur lebar

 

Pada separuh pertama, katanya, ia menyaksikan asas jalur lebarnya berkembang 89% tahun ke tahun memandangkan ramai pelanggan yang mengambil perkhidmatan tersebut beserta pakej kandungan untuk menikmati lebih nilai.

 

"Tidak lama lagi, kami akan menyediakan lebih banyak pilihan untuk memperkukuhkan penawaran digital dan jalur lebar kami," tambah beliau. - DagangNews.com