Untung bersih Digi.Com Q3 susut kepada RM312.82 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Digi.Com Q3 susut kepada RM312.82 juta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Untung bersih Digi.Com Bhd. bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 susut kepada RM312.82 juta berbanding RM320.76 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya di sebalik peningkatan hasil yang direkodkan rangkaian telekomunikasi mudah alih ini. 

 

Penurunan ini disebabkan susut nilai dan pelunasan aset yang lebih tinggi di samping kerugian bersih dalam tukaran mata wang asing dan pergerakan nilai wajar kontrak hadapan mata wang asing.

 

Sebaliknya, bagi tempoh itu, pendapatan meningkat kepada RM1.584 bilion berbanding RM1.579 bilion bagi tempoh sama tahun lalu, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pada suku berkenaan, syarikat merekodkan pendapatan perkhidmatan sebanyak RM1.34 bilion disokong oleh peningkatan momentum dalam segmen pascabayar dan prabayar manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) adalah sebanyak RM788 juta atau margin 49.7%.

 

Dari segi perbelanjaan modal (capex) untuk tempoh tersebut, Digi.Com melabur sebanyak RM170 juta bagi meningkatkan operasi kapasiti rangkaian dan pendigitalan, sebagai sebahagian daripada keutamaan syarikat untuk menyediakan perkhidmatan internet berkualiti kepada para pelanggannya.

 

Pelaburan ini dibuat bagi memenuhi penggunaan data yang semakin meningkat yang mana setakat ini penggunaan bulanan adalah 22.4GB setiap pengguna.

 

Bagi memperkukuhkan lagi rangkaiannya, Digi.Com memenuhi sasaran 100% bagi pelancaran tapak baharu 4G dan menaik taraf tapak sedia ada di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) pada suku tersebut. 

 

Proses untuk menutup rangkaian 3G secara berperingkat juga berjalan lancar, dengan kurang daripada 300,000 pelanggan 3G, berbanding jumlah pelanggan internet yang meningkat sebanyak 9 juta.   

 

Liputan rangkaian Digi 4G LTE dan LTE-A sekarang masing-masing melayani 92% dan 75% daripada populasi di seluruh negara, di samping pengembangan rangkaian fiber lebih 10,000 kilometer. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Digi.Com, Albern Murty berkata, syarikat akan terus melabur dan memenuhi pengalaman rangkaian untuk menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada pengguna dan mengekalkan usaha memacu pemulihan dalam komuniti.

 

"Oleh itu, kami dengan gembira melaporkan bahawa 100% kakitangan barisan hadapan peruncitan kami di Digi Stores telah divaksinkan sepenuhnya, supaya mereka dapat menyediakan perkhidmatan kepada pengguna dengan selama dan pada masa sama, melindungi pekerja kami," katanya dalam kenyataan.

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021, untung bersih Digi.Com susut kepada RM857.55 juta berbanding RM940.79 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat kepada RM4.75 bilion daripada RM4.59 bilion. - DagangNews.com