Untung bersih ELK-Desa Resources turun 60.9% kepada RM5.54 juta bagi suku keempat 2022 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih ELK-Desa Resources turun 60.9% kepada RM5.54 juta bagi suku keempat 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - ELK-Desa Resources Berhad mencatatkan untung bersih lebih rendah untuk suku keempat berakhir 31 Mac 2022 iaitu RM5.54 juta atau penurunan 60.9% berbanding RM14.16 juta bagi suku sama tahun lalu.

 

Pendapatan bagi suku itu juga menurun sebanyak 7.9% kepada RM35.69 juta daripada RM38.75 juta pada suku keempat tahun lalu manakala untung sebelum cukai juga menurun sebanyak 57% kepada RM7.53 juta daripada RM17.54 juta.

 

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata, penurunan itu berpunca daripada sumbangan pendapatan yang rendah daripada segmen pinjaman sewa beli dan secara terkumpulan, keuntungan bersih mereka adalah 27% lebih rendah iaitu RM25.77 berbanding RM35.29 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Sehingga 31 Mac 2022, segmen pinjaman sewa beli menurun sebanyak 10% kepada RM468.05 juta berbanding RM522.80 juta pada tahun lalu.

 

Pendapatan bagi segmen pinjaman sewa beli untuk FY22 juga menurun sebanyak 9% kepada RM85.30 juta daripada RM93.31 juta pada tahun lalu akibat portfolio segmen itu yang kecil.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Kewangan kumpulan, Teoh Seng Hee berkata, prestasi kewangan itu adalah seperti dijangka terutama selepas kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jun hingga September 2021 yang menjejaskan perniagaan mereka.

 

"Berdasarkan kadar vaksin yang tinggi di Malaysia, kami percaya gangguan terhadap operasi akibat PKP tidak akan berulang lagi.

 

"Pembukaan semula aktiviti perniagaan selepas Malaysia sedang berubah ke fasa endemik juga dijangka memberi sumbangan kepada pemulihan ekonomi, pelaburan langsung asing, oelaung pekerjaan dan faktor makro ekonomi juga kritikal kepada segmen pinjaman sewa beli dan perabot kami," katanya.

 

Beliau berkata, kumpulan itu menyasarkan untuk mengembalikan portfolio pinjaman sewa beli ke tahap para pandemik namun kekal berhati-hati dalam pendekatannya bagi melindungi aset mereka.

 

"Kami percaya permintaan untuk pinjaman sewa beli untuk kenderaan terpakai adalah kukuh terutama selepas ekonomi negara menuju ke arah pemulihan," katanya. - DagangNews.com