Untung bersih Genetech melonjak lebih 100% kepada RM19.6 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Genetech melonjak lebih 100% kepada RM19.6 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 26 Jan - Genetec Technology Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang jauh lebih tinggi sebanyak RM19.6 juta, naik RM18.28 juta bagi suku kewangan ketiga berakhir 31 Disember 2021, berbanding keuntungan bersih RM889,000 pada suku yang sama sebelumnya. 

 

Bagi suku yang sama, Kumpulan turut mencatat keuntungan sebelum cukai berjumlah RM21.0 juta, 19.3% lebih tinggi daripada RM17.6 juta yang dicatatkan pada suku kedua (Q2FY2022), disebabkan jualan yang lebih tinggi dan kos yang kekal stabil. 

 

Hasil bagi suku tersebut turut mencatat peningkatan sebanyak 98.5% QoQ berjumlah RM65.3 juta, dan peningkatan 10.1% berbanding suku sebelumnya Q2FY2022, menjadikan jumlah tahunan sebanyak RM164.9 juta untuk 9 bulan berakhir 31 Disember 2022 (9MFY2022). 

 

"Kami terus maju dengan rancangan kami. Awal bulan ini kami telah menamatkan pelaksanaan Terbitan Bonus kami yang diumumkan pada 25 Oktober 2021 dengan penyenaraian terbitan baharu sekuriti atau 629,503,200 saham bonus (berkuat kuasa 11 Januari 2022) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad. 

 

"Di samping memberi ganjaran kepada pemegang saham sedia ada dan meningkatkan kecairan saham, kami berharap dapat menggalakkan penyertaan runcit tempatan yang lebih besar. 

 

"Memandang ke hadapan, kami terus membina kenderaan elektrik (EV) dan bahagian penyimpanan tenaga dan menjangkakan ia kekal sebagai penyumbang penting dan berkembang kepada prestasi keseluruhan kami," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Dalam pada itu Kumpulan itu berkata, pertumbuhan masa hadapan akan didorong oleh permintaan serantau dan seluruh dunia apabila negara dan perniagaan meningkatkan usaha mereka ke arah mencapai pelepasan sifar karbon yang disasarkan pada 2050.

 

"Kami terus kekal optimis dengan berhati-hati tetapi berwaspada selepas perniagaan dan ekonomi meneruskan pemulihan setelah terjejas akibat pandemik selama dua tahun. 

 

"Penggunaan teknologi dan automasi merentas industri yang berbeza dijangka berterusan apabila perniagaan mula mencari penyelesaian yang lebih hijau, cekap dan dengan kebolehpercayaan yang lebih besar dalam barisan pengeluaran mereka," katanya.

 

Beliau berkata, kesan ke atas penggunaan teknologi juga telah mengakibatkan peningkatan permintaan untuk storan, data dan kecerdasan, yang akan memacu potensi pasaran pemacu cakera keras (HDD) global. -DagangNews.com