Untung bersih, hasil Bursa Malaysia merosot pada suku pertama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih, hasil Bursa Malaysia merosot pada suku pertama

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 April - Untung bersih Bursa Malaysia Bhd. merosot 44% kepada RM68 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 daripada RM121.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Penurunan itu disebabkan hasil operasi yang lebih rendah pada suku berkenaan, susut 29.4% kepada RM161 juta berbanding RM228 juta bagi tempoh sama 2021, berikutan pengurangan hasil dagangan sekuriti.

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga susut kepada RM165.3 juta daripada RM232.28 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, nilai purata dagangan harian (ADTV) sekuriti yang kembali normal kepada paras sebelum pandemik menyumbang kepada penurunan keuntungan pada suku pertama 2022 berbanding tempoh sama 2021.

 

Katanya, keuntungan bersih adalah 4.6% lebih tinggi daripada suku keempat berakhir 31 Disember 2021 sebanyak RM65 juta, terutamanya disumbangkan oleh 2.8% ADTV yang lebih tinggi dicatatkan pada suku semasa.

 

"Bagaimanapun, dengan pembukaan semula ekonomi dan sempadan antarabangsa, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan unjuran pertumbuhan negara sekitar 5.3 hingga 6.3%.

 

"Ini akan menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik apabila negara bergerak kepada fasa endemik, justeru, kami menjangkakan lebih banyak peluang dagangan untuk pelabur disebabkan pergerakan harga minyak sawit mentah, dasar kadar faedah dan FBM KLCI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada suku dikaji, Pasaran Sekuriti merekodkan hasil dagangan sebanyak RM80.4 juta, susut 46.7% daripada RM150.9 juta pada suku pertama 2021.

 

Ia disebabkan ADTV yang lebih rendah bagi Securities Market On-Market Trades (OMT) dan Direct Business Trades (DBT) pada suku pertama sebanyak RM2.7 bilion berbanding RM5.2 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Dana yang diperoleh melalui tawaran awam permulaan (IPO) pada suku dikaji berjumlah RM1.5 bilion, jauh lebih tinggi daripada RM200 juta yang diperoleh pada suku pertama 2021. - DagangNews.com