Skip to main content

Untung bersih Kenanga meningkat kepada RM86.5 juta, optimis prospek tahun baharu

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 NovKenanga Investment Bank Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM86.5 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021, meningkat berbanding RM63 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Kenanga Investment Bank Berhad, Datuk Chay Wai Leong berkata, Kumpulan turut merekodkan pendapatan bersih berjumlah RM586.3 juta, naik sebanyak 1.4% daripada tempoh yang sama sebelumnya, manakala perbelanjaan operasi berkurang sedikit kepada RM490.7 juta.  

 

Ujarnya, pulangan ke atas Ekuiti Tahunan (ROE) berdasarkan 9B21 adalah sebanyak 11.3% berbanding dengan 9.0% pada tahun sebelumnya.

 

"Dengan pembukaan semula secara beransur-ansur semua sektor ekonomi dan pemansuhan sekatan, disokong oleh kemajuan kempen vaksinasi COVID-19, penggunaan langkah-langkah rangsangan dan timbulnya keadaan permintaan yang kukuh, kami kekal optimis secara berwaspada terhadap prospek ekonomi negara memasuki tahun baharu.

 

“Walau bagaimanapun, kita kini menyaksikan penyusutan dalam aktiviti dagangan bukan sahaja di Bursa Malaysia, tetapi juga di beberapa bursa utama lain di seluruh dunia. Hal ini berkemungkinan memberikan impak kepada hasil suku tahun yang seterusnya, namun secara keseluruhannya, meraih manfaat daripada kekuatan menerusi aliran hasil pelbagai kami, kami berada di landasan yang betul untuk mengakhiri tahun ini pada asas yang kukuh, berbanding dengan prestasi tahun lepas.

 

“Dengan model perniagaan kami tertumpu pada pendigitalan, dan amalan berterusan kehematan di seluruh operasi kami, kami berada dalam kedudukan yang baik untuk terus mengembangkan perniagaan dan menghasilkan nilai pemegang saham jangka panjang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Datuk Chay Wai Leong
Datuk Chay Wai Leong

 

Menurutnya, perolehan yang kukuh bagi suku di bawah semakan terutamanya disebabkan oleh sumbangan lebih tinggi daripada perniagaan pembrokeran saham dan pengurusan pelaburan, di samping bahagian keuntungan daripada usaha sama dengan Rakuten Trade Sdn Bhd. 

 

 

Ujarnya, Bahagian Pembrokeran Saham Kenanga Investment Bank mencapai PBT sebanyak RM68.8 juta bagi 9B21 berbanding dengan RM52.7 juta daripada tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh faedah bersih lebih tinggi, pendapatan dagangan dan pelaburan bersih yang lebih baik, di samping perbelanjaan kerugian kredit yang lebih rendah. 

 

 

"Pendapatan pelaburan dagangan ekuiti bersih meningkat kepada RM56.0 juta, naik 40.2% daripada tempoh yang sama. Bahagian ini terus mengembangkan bahagian pasarannya, terutamanya dalam segmen runcit, daripada 21.9% kepada 23.5%, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu broker runcit terbesar dalam pasaran. 

 

"Dalam tempoh yang sama, Rakuten Trade mencapai satu lagi kemajuan dengan platform dagangan dalam talian yang berkembang pantas, melebihi 200,000 akaun berdaftar," katanya. 

 

Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Kekayaan Kenanga Investment Bank mencatatkan PBT paling tinggi dalam rekod, melonjak lebih tiga kali kepada RM20.6 juta dalam tempoh sembilan bulan berbanding dengan RM7.6 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas. 

 

Peningkatan yang ketara ini disebabkan oleh penjanaan pendapatan fi prestasi dan fi pengurusan lebih tinggi yang disokong oleh peningkatan aset di bawah pengurusan (AUA) dan kekuatan agensi jualan. AUA berjumlah RM16.3 bilion, meningkat sebanyak 18.4% daripada tempoh yang sama tahun lepas. 

 

Bagi suku tahun dalam tinjauan, hasil dan untung bersih sebelum cukai dipengaruhi oleh jumlah dagangan yang semakin lemah di Bursa Malaysia, mengakibatkan pembrokeran bersih serta pendapatan dagangan dan pelaburan yang lebih rendah. 

 

Bagi suku ketiga 2021, hasil bersih berjumlah RM202.6 juta, manakala keuntungan sebelum cukai berjumlah RM26.3 juta. -DagangNews.com