Untung bersih Kerjaya Prospek susut 20.41% kepada RM24.18 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Kerjaya Prospek susut 20.41% kepada RM24.18 juta

 

 

 

 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 NOV - Untung bersih suku ketiga Kerjaya Prospek Group Bhd susut 20.41% kepada RM24.18 juta daripada RM30.38 juta tempoh sama tahun sebelumnya kesan sekatan pergerakan yang didorong oleh pandemik Covid-19. 

 

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, hasil meningkat sedikit kepada RM222.64 juta daripada RM222.21 juta atas pendapatan minimum daripada pembangunan hartanah.

 

 

 “Secara keseluruhannya, peningkatan hasil bagi suku semasa dalam tinjauan adalah disebabkan terutamanya oleh kemajuan dalam kerja-kerja di tapak pembinaan.

 

"Bagi segmen pembangunan hartanah, projek Vista Residence di Genting Permai telah disiapkan pada tahun 2019 dan tiada projek dalam pembangunan untuk suku kewangan dalam semakan. 

 

"Oleh itu, segmen pembangunan hartanah mempunyai sumbangan minimum kepada keputusan kumpulan. 

 

"Bagi suku kewangan dalam semakan, sumber pendapatan utama bagi segmen pelaburan ialah pendapatan faedah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, bagi tempoh sembilan berakhir 30 Sept 2021 (9MFY21), keuntungan bersih meningkat kepada RM66.57 juta daripada RM62.77 juta berbanding tahun sebelumnya manakala hasil meningkat kepada RM681.21 juta daripada RM562.15 juta. 

 

“Pada asas suku tahunan, bagi suku semasa, kumpulan mencatatkan hasil dan keuntungan sebelum cukai masing-masing RM222.64 juta dan RM30.61 juta berbanding RM189.89 juta dan RM23.26 juta pada suku sebelumnya.

 

"Memandang ke hadapan, untuk suku terakhir tahun ini kumpulan akan terus memantau dan melaksanakan strategi perniagaan yang bersesuaian tepat pada masanya untuk menangani risiko wabak terhadap operasi dan prestasi kewangan kami," katanya. 

 

Setakat 30 September tahun ini, kumpulan itu memiliki buku tempahan pembinaan bernilai RM3.6 bilion. -DagangNews.com