Untung bersih KPJ melonjak  lebih 3 kali ganda pada suku kedua kepada RM27.09 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih KPJ melonjak  lebih 3 kali ganda pada suku kedua kepada RM27.09 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Untung bersih KPJ Healthcare Bhd. melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM27.09 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 daripada RM6.96 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan meningkat kepada RM707.57 juta daripada RM632.83 juta.

 

Dalam tempoh berkenaan, lawatan pesakit dan kadar penggunaan katil (BOR) masing-masing meningkat kepada 802,840 dan 51% daripada 758,629 dan 41% berbanding tempoh sama pada 2021, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Ini menyaksikan bagi tempoh kumulatif enam bulan berakhir 30 Jun 2022, untung bersih KPJ melonjak kepada RM49.29 juta daripada RM19.93 juta dengan pendapatan meningkat kepada RM1.36 bilion daripada RM1.24 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Operasinya di Malaysia meyumbang dengan ketara kepada pendapatan kumpulan berjumlah RM1.3 bilion, meningkat 10% daripada RM1.18 bilion dengan lawatan pesakit bagi tempoh separuh pertama itu meningkat 8% kepada 1.48 juta berbanding 1.37 juta pada tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Segmen tersebut merekodkan BOR yang lebih tinggi sebanyak 52% berbanding 41% manakala kes pembedahan meningkat 12% kepada 43,556 daripada 38,759 kes.

 

Lain-lain segmen merekodkan jumlah pendapatan sebanyak RM69.2 juta, lebih tinggi sedikit daripada tempoh sama tahun kewangan sebelumnya disumbangkan terutamanya menerusi operasi Indonesia, Jeta Gardens dan perkhidmatan pendidikan.

 

Mengenai prospek kumpulan, KPJ menjangkakan pertumbuhan permintaan secara berterusan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan di sebalik peningkatan kesedaran penjagaan kesihatan mental dan fizikal serta tumpuan penjagaan kesihatan yang beralih daripada kemasukan ke hospital ke arah penjagaan pencegahan.

 

Menurutnya, peningkatan semula dalam prosedur perubatan elektif dan pemulihan sektor pelancongan kesihatan juga dijangka memberi petanda yang baik kepada kumpulan bagi tahun semasa.

 

Katanya, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, kumpulan memberi tumpuan untuk meningkatkan kecekapan, kualiti dan produktiviti hospital serta pelaburan menerusi pelaksanaan pelan transformasi dan strategi pengoptimuman kos.

 

Kumpulan akan terus mengembangkan kapasiti sedia ada untuk menangani peningkatan permintaan daripada pesakit dan secara konsisten meningkatkan penyampaian penjagaan pesakit.

 

"Walaupun prestasi bertambah baik, ketidaktentuan ekonomi global kekal sebagai cabaran terbesar kami. Tetapi, kami percaya KPJ dapat mempamerkan pertumbuhan jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan," katanya. -DagangNews.com