Skip to main content

Untung bersih MSM bagi 9M21 melonjak 211%, optimis dengan pelan pemulihan 

 

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) mencatat untung selepas cukai (PAT) sebanyak RM142 juta untuk 9 bulan berakhir 30 September 2021 (9M21), peningkatan 211% berbanding kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM127 juta dalam tempoh sama tahun lepas. 

 

Pendapatan kumpulan juga meningkat kepada RM1.62 bilion berbanding RM1.55 bilion bagi tempoh sama 2020.

 

Bagi tempoh suku ketiga berakhir 30 September 2021, kumpulan mencatatkan PAT sebanyak RM97 juta berbanding LAT sebanyak RM71 juta pada tempoh sama tahun lalu, tetapi pendapatan susut 7.7% kepada RM548.64 juta daripada RM594.55 juta.

 

Prestasi lebih baik itu terutamanya menerusi pemulihan yang ketara disumbangkan oleh keuntungan daripada pelupusan anak syarikat, MSM Perlis Sdn Bhd sebanyak RM91.81 juta.

 

Tidak termasuk keuntungan pelupusan tersebut, MSM mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM98.5 juta bagi tempoh 9M21.

 

Peningkatan pendapatan untuk tempoh 9 bulan disebabkan kenaikan harga jualan purata (ASP) untuk segmen borong dan peningkatan premium untuk segmen industri dan eksport.

 

Bagaimanapun, pendapatan lebih rendah pada suku semasa disebabkan oleh jumlah jualan lebih rendah akibat daripada pengeluaran yang berkurangan dan jumlah jualan lebih rendah semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berpanjangan dan sekatan pergerakan penuh di negara ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad tetap optimis terhadap pelan pemulihan kumpulan dan keupayaan untuk mencapai pertumbuhan yang mampan di tengah-tengah trend kenaikan harga gula mentah global.

 

Katanya, kumpulan sedang berusaha ke arah meningkatkan kecekapannya dan kekal positif terhadap sasaran prestasi keseluruhan tahun.

 

"MSM kini memberi tumpuan ke arah meningkatkan hasil dan penggunaan kapasiti kami yang akan menyumbang kepada kos penapisan dan pengeluaran yang lebih rendah," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Operasi di MSM Johor berada di landasan yang betul dengan siapnya kerja-kerja pembetulan dandang kedua. 

 

Kapasiti pengeluaran MSM Johor kekal berada pada satu juta tan metrik setahun dan terus mencatatkan peningkatan yang ketara. 

 

Beliau berkata, MSM Johor dijangka dapat mencapai kadar penggunaan (UF) yang disasarkan sebanyak 50% menjelang akhir tahun ini dan meningkatkan prestasi kewangannya pada 2022 dengan ramalan keuntungan.

 

"MSM akan meneruskan pelan pemulihannya dan mencapai pertumbuhan yang mampan dengan pulangan yang baik dengan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang dipergiatkan dalam kumpulan melalui pelbagai inisiatif berterusan dan baharu," jelasnya. - DagangNews.com