Untung bersih Petronas Gas 2Q susut kepada RM439 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Petronas Gas 2Q susut kepada RM439 juta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
 

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Untung bersih Petronas Gas Bhd. bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021 susut 19.75% kepada RM439.07 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, RM547.1 juta. 

 

Perolehan kumpulan turut susut kepada RM1.38 bilion bagi tempoh itu berbanding RM1.4 bilion tahun lalu. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Petronas Gas berkata, 2 syarikat usaha samanya iaitu Kimanis Power Sdn Bhd (KPSB) dan Pengerang Gas Solutions Sdn Bhd (PGSSB) juga merekodkan keuntungan yang rendah.

 

"Pada suku berkenaan, KPSB terjejas akibat pergerakan mata wang asing manakala PGSSB merekodkan jumlah jualan yang lebih rendah," katanya.

 

Petronas mengisytiharkan dividen sebanyak 16 sen berbanding 66 sen tahun lalu.

 

Loji pemprosesan kumpulan mengekalkan prestasi operasi berkelas dunia, mencatatkan hampir 100% kebolehpercayaan.

 

Pendapatan segmen ini adalah setanding pada RM427.9 juta manakala segmen hasil susut 14.7% atau RM36.8 juta disebabkan kos operasi yang tinggi terutama perbelanjaan susut nilai.

 

Bagi pengangkutan gas, rangkaian saluran paip kumpulan terus mencapai kebolehpercayaan hampir 100%, setanding dengan suku yang sama.

 

Ia merekodkan pendapatan sebanyak RM291.3 juta manakala segmen hasil susut 13.8% atau RM28.6 juta disebabkan kos operasi yang tinggi terutama kos penyelenggaraan sejajar dengan tahap aktiviti yang dirancang lebih tinggi.

 

Terminal regasifikasi gas asli cecair (LNG) kumpulan di Sungai Udang, Melaka (RGTSU) dan Pengerang, Johor (RGTP) mengekalkan kebolehpercayaan prestasi hampir 100% pada suku berkenaan.

 

Pendapatan segmen ini berkembang 0.9% atau RM3.2 juta dengan pengenalan aliran pendapatan baru dari muat semula LNG di RGTSU dan pemuatan trak di RGTP.

 

Bagaimanapun, hasil menurun 17.5% atau RM29.4 juta disebabkan kos operasi yang tinggi, sebahagian besarnya disumbangkan oleh kos penggunaan gas secara dalaman.

 

Petronas Gas berkata, loji utiliti kumpulan mencapai 100% penghantaran produk bagi wap, elektrik dan gas perindustrian pada suku kedua tersebut.

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2021, untung bersih Petronas Gas meningkat kepada RM955.47 juta daripada RM915.22 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagi tempoh itu, pendapatan susut kepada RM2.72 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu, RM2.8 bilion. - DagangNews.com