Untung bersih Pharmaniaga menjunam 95% kepada RM722,000 pada suku kedua | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Pharmaniaga menjunam 95% kepada RM722,000 pada suku kedua

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Untung bersih Pharmaniaga Bhd. menjunam sehingga 94.7% kepada RM722,000 pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM13.7 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga merosot 35.3% kepada RM761.1 juta daripada RM1.2 bilion bagi tempoh sama 2021 memandangkan negara beralih kepada fasa endemik, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Tambahan pula, kumpulan melaporkan jualan yang lebih rendah daripada segmen bukan konsesi disebabkan kontrak daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi produk di bawah perniagaan tender.

 

Ia turut merekodkan pendapatan yang lebih rendah dalam segmen lain termasuk cabang perniagaan di Indonesia, hasil daripada musim perayaan pada suku tersebut.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, untung bersihnya susut kepada RM28.46 juta daripada RM36.84 juta manakala pendapatan juga susut RM1.7 bilion daripada RM2 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam perniagaan konsesi apabila produk tambahan dimasukkan ke dalam senarai konsesi.

 

Di samping itu, terdapat peningkatan sumbangan daripada sektor swasta sebanyak 30% hasil daripada peningkatan usaha pengiklanan dan promosi.

 

Segmen Indonesia pula terus mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan memanfaatkan peningkatan kecekapan operasi melalui pendigitalan dan usaha jualan yang agresif.

 

Mengenai prospek kumpulan, Pharmaniaga akan memberi tumpuan untuk memanfaatkan portfolio perniagaannya di pasaran swasta, terutama untuk produk di kaunter dan etika kepada farmasi, hospital dan klinik di seluruh negara.

 

Katanya, ia juga menumpukan kepada lanjutan perjanjian logistik dan pengedarannya dengan KKM yang disasarkan untuk dilaksanakan pada suku keempat 2022.

 

"Kekurangan ubat baru-baru ini telah menyebabkan kerajaan meluluskan untuk melepaskan stok ubatnya kepada sektor swasta dengan Pharmaniaga ditugaskan untuk menguruskan pengeluaran ubat-ubatan ini.

 

"Ini melonjakkan permintaan produk farmaseutikal generiknya kepada 4 kali ganda. Kumpulan menjangkakan kekurangan ubat akan kembali normal menjelang suku keempat ini," katanya. 

 

Secara keseluruhan, kumpulan kekal berhati-hati dengan prospek akan datang dengan mengambil kira pelbagai ketidaktentuan pasaran yang memberi kesan kepada ekonomi global seperti kenaikan harga bahan mentah dan kadar faedah. - DagangNews.com