Untung bersih Q4 Bursa Malaysia merosot 38% kepada RM64.95 juta, pendapatan juga susut | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Q4 Bursa Malaysia merosot 38% kepada RM64.95 juta, pendapatan juga susut

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Jan - Bursa Malaysia Bhd. merekodkan keuntungan selepas cukai dan zakat (PAT) sebanyak RM355.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), susut 6% berbanding RM377.7 juta bagi tempoh kewangan sama tahun lalu. 

 

Penurunan ini disebabkan hasil operasi yang lebih rendah, susut 3.5% kepada RM751.6 juta dalam tempoh tersebut berbanding RM778.8 juta pada FY20, menurutnya dalam kenyataan hari ini.

 

Perbelanjaan operasi pada FY21 juga lebih rendah sebanyak 1.1% kepada RM288.6 juta daripada tahun sebelumnya, RM291.8 juta.

 

Ini menyaksikan pendapatan bagi FY21 juga susut kepada RM767.54 juta berbanding RM798.97 juta pada FY20.

 

Lembaga pengarah meluluskan dan mengisytiharkan dividen akhir pada 17 sen sesaham, berjumlah hampir RM137.6 juta menjadikan jumlah bayaran dividen bagi FY21 kepada 41 sen sesaham termasuk dividen interim 24 sen yang dibayar pada Ogos 2021. 

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, untung bersihnya merosot 38.05% kepada RM64.95 juta daripada RM104.85 juta manakala pendapatan juga susut 28.4% kepada RM165.18 juta berbanding RM230.7 juta. 

 

Pasaran Sekuriti pada FY21 merekodkan hasil dagangan sebanyak RM442.9 juta berbanding RM498.9 juta bagi tahun kewangan sebelumnya, susut 11.2% disebabkan nilai purata dagangan harian (ADV) bagi transaksi pasaran dan perniagaan langsung yang lebih rendah. 

 

Peningkatan 20.1% dalam waran berstruktur baharu yang disenaraikan menghasilkan sejumlah 1,451 waran berstruktur baharu, menyumbang kepada peningkatan dalam penyenaraian dan hasil perkhidmatan penerbit sebanyak 24.3% kepada RM70.8 juta manakala hasil perkhidmatan depositori meningkat 18.3% kepada RM58.2 juta daripada RM49.2 juta pada FY20.

 

Walaupun merekodkan dagangan kontrak yang tinggi sebanyak 18.4 juta pada 2021 melepasi tahun lalu pada 18.2 juta, tetapi hasil dagangan Pasaran Derivatif merosot 4.1% kepada RM87.3 juta bagi FY21 daripada RM91.1 juta pada FY20. 

 

Ini disebabkan jumlah kontrak FKLI yang lebih rendah diniagakan pada 2021, yang menarik bayaran dagangan lebih tinggi. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, Pasaran Sekuriti terus menunjukkan pertumbuhan jangka panjang dan menyediakan peluang pelaburan yang menarik. 

 

"Bagi Pasaran Derivatif pula, kami akan meneroka produk baharu di samping merombak produk sedia ada untuk memenuhi keperluan peserta pasaran yang semakin berkembang dan meningkatkan daya tarikannya kepada pemain global

 

"Selain itu, kami juga akan meneruskan usaha untuk membangunkan Pasaran Modal islam dengan membangunkan produk dan perkhidmatan baharu patuh syariah, mewujudkan pelarasan yang lebih baik antara Pelaburan Syariah dan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab, di samping meneroka pengembangan produk merentasi rantaian nilai penyelesaian pengurusan kekayaan Islam," katanya. - DagangNews.com