Untung bersih TH Plantations susut 63% kepada RM9.76 juta pada suku kedua, jangka masalah buruh berlarutan | DagangNews Skip to main content

Untung bersih TH Plantations susut 63% kepada RM9.76 juta pada suku kedua, jangka masalah buruh berlarutan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Untung bersih TH Plantations Bhd. susut 63% kepada RM9.76 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 daripada RM26.57 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat 42.2% kepada RM250.45 juta daripada RM176.15 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022, keuntungan bersih susut kepada RM31.35 juta daripada RM41.53 juta, sebaliknya pendapatan meningkat 46% kepada RM448.6 juta daripada RM307.4 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Kumpulan merekodkan pendapatan yang lebih baik disumbangkan oleh harga realisasi purata yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah sebanyak RM5,346 satu tan metrik dan isirung sawit sebanyak RM3,960 satu tan metrik bagi tahun ke tahun walaupun volum pengeluaran sedikit rendah.

 

Malah, kumpulan masih merekodkan keuntungan yang membanggakan pada tempoh itu di sebalik perubahan nilai saksama yang lebih rendah pada aset biologi dan kos jualan yang lebih tinggi ditambah dengan persekitaran operasi yang mencabar, sebahagian besarnya disebabkan masalah kekurangan buruh yang teruk.

 

"Hasil daripada prestasi kukuh kumpulan dan dedikasinya untuk menyampaikan nilai pemegang saham, lembaga pengarah dengan sukacitanya mengisytiharkan dividen interim satu peringkat yang pertama sebanyak 1.5 sen sesaham bagi tahun berakhir 31 Disember 2022.

 

"Dividen ini akan dibayar pada 10 Oktober 2022 kepada pemegang saham yang berdaftar pada 12 September 2022," katanya.

 

Menurut TH Plantations, kumpulan akan terus mengambil semua langkah yang perlu untuk menambah baik asas-asas kumpulan termasuk mengoptimumkan inisiatif pengilangan, mekanisasi dan transformasi untuk mengukuhkan kecekapan keseluruhan dan pengurusan kos.

 

Bagaimanapun, ia menjangkakan akan berdepan cabaran daripada masalah kekurangan buruh sepanjang tahun ini, justeru, telah mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menangani situasi tersebut.

 

"Sehubungan itu, kumpulan menjangkakan prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan ini," katanya. - DagangNews.com