Skip to main content

Untung bersih VS Industry susut 30% pada Q3 akibat gangguan bekalan, masalah buruh

KUALA LUMPUR 24 Jun - Untung bersih VS Industry Bhd. bagi suku ketiga (Q3) berakhir 30 April 2022 susut 30.1% kepada RM51.29 juta berbanding RM73.38 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan kumpulan bagi tempoh itu juga susut 13.69% kepada RM927.59 juta daripada RM1.07 bilion.

 

Sebahagian besar prestasi kumpulan dipengaruhi oleh penghantaran pesanan yang lebih rendah kepada pelanggan utama disebabkan kekurangan buruh di seluruh industri serta gangguan berpanjangan dalam rantaian bekalan global yang menjejaskan bekalan komponen.

 

Segmen kumpulan di Malaysia terus terjejas oleh gabungan faktor termasuk peningkatan dalam kos buruh dan bahan mentah, serta susut nilai yang lebih tinggi yang ditanggung daripada kemudahan baharu manakala pengeluaran besar-besaran untuk pelanggan utama baharu masih belum mencapai tahap optimum.

 

Pengarah Urusan VS Industry, Datuk SY Gan berkata, selepas bergelut dengan pandemik COVID-19, dunia kini berdepan dengan cabaran baharu disebabkan konflik Rusia-Ukraine dan kumpulan tidak terlepas berdepan dengan pelbagai cabaran.

 

Katanya, antaranya, inflasi, kenaikan kos buruh dan bahan mentah, masalah kekurangan tenaga buruh serta gangguan bekalan dan logistik. 

 

"Kami sedang bekerja keras dan melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk memastikan operasi diteruskan dengan mengurangkan gangguan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Secara keseluruhan, bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 April 2022, pendapatan kumpulan susut 4.9% kepada RM2.91 bilion berbanding RM3.06 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Untung bersih bagi tempoh itu juga menurun kepada RM135.1 juta daripada RM203.9 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Bagaimanapun, menurut Gan, prospek kumpulan masih kekal utuh disokong oleh permintaan yang berterusan daripada pelanggan dan penambahbaikan terhadap masalah kekurangan pekerja secara beransur-ansur.

 

"Secara dasaranya, lembaga pengarah optimistik dan berhati-hati terhadap prospek kumpulan dan berpendapat bahawa prestasi kewangan bagi baki suku seterusnya adalah memuaskan," tambahnya. - DagangNews.com