Untung OSK Holdings dijangka lebih rendah akibat Cukai Makmur | DagangNews Skip to main content

Untung OSK Holdings dijangka lebih rendah akibat Cukai Makmur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jun - Malacca Securities menjangkakan keuntungan OSK Holdings Berhad lebih rendah kesan daripada pelaksanaan Cukai Makmur.

 

Bagaimanapun, firma itu percaya ia akan diimbangi oleh peningkatan secara menyeluruh daripada entiti kumpulan itu pada FY22F.

 

"Antara risiko yang bakal dihadapi mereka termasuk penjualan hartanah yang lebih lemah daripada jangkaan dan ia membuatkan kumpulan itu menangguhkan pelancaran projek baharu.

 

"Mereka juga berdepan kemungkinan peminjam gagal membuat bayaran pinjaman dan mengakibatkan sumbangan yang lebih rendah dalam segmen pembiayaan modal," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, kadar pemilikan bagi projek Iringan Bayu adalah sekitar 90%, manakala Fasa 8B2 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM40.6 juta telah dilancarkan pada 1Q22.

 

Katanya, permintaan untuk pembangunan perbandaran Iringan Bayu kerana ia menawarkan 24 kemudahan yang disediakan seperti taman permainan kanak-kanak bersepadu, denai tanah lembap, trek joging, trek basikal dan antara lain.

 

"Sementara itu, taman tanah lembap juga mengambil kira inisiatif amalan alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) dengan lampu malam dikuasakan melalui tenaga solar," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu berkata, pembangunan berterusan seperti Melbourne Square di Sungai Petani dan YOU City III di Cheras yang bakal memberikan hasil jualan sekitar RM900 juta.

 

"Pada masa sama, kumpulan itu memiliki bank tanah seluas 1,967 ekar dengan GDV RM14.7 bilion yang akan memberikan pendapatan jelas untuk masa akang datang di dalam segmen pembangunan hartanah," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.41 sesaham. - DagangNews.com