Skip to main content

Untung selepas cukai MPay susut sehingga 95% pada Q3

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - Keuntungan selepas cukai (PAT) ManagePay Systems Bhd. (MPay) susut 95.3% kepada RM56,000 bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 berbanding RM1.18 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Hasil bagi tempoh itu juga susut 15.11% kepada RM3.82 juta daripada RM4.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Penurunan hasil ini disebabkan terutamanya perkhidmatan bayaran yang berkurangan disebabkan penutupan sementara cawangan kedai disebabkan sekatan pergerakan yang ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19 pada tempoh suku dikaji.

 

Bagaimanapun, bagi perbandingan suku ke suku, hasil MPay meningkat 24% daripada RM3.08 juta pada suku sebelumnya disebabkan peningkatan hasil daripada perkhidmatan bukan bayaran terutama pelancaran projek e-dompet pada suku semasa. 

 

Kumpulan turut merekodkan PAT pada suku semasa sebanyak RM56,000 berbanding kerugian selepas cukai (LAT) RM1.88 juta pada suku sebelumnya berikutan kos langsung, pentadbiran dan perbelanjaan am yang lebih rendah berbanding tahun kewangan sebelumnya. 

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021, ia menyaksikan kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM279,000 berbanding kerugian bersih RM10.06 juta.

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun susut kepada RM10.24 juta daripada RM10.98 juta pada suku sebelumnya. 

 

Menurut MPay, ia yakin ekosistem teknologi kewangannya (fintech) berada dalam kedudukan yang baik untuk membantu pelanggan menyesuaikan diri dengan persekitaran yang dinamik, berdasarkan kepada trend yang ditunjukkan dalam kebanyakan suku ketika pandemik COVID-19.

 

"Melangkah ke masa depan, kami berhasrat untuk mengutamakan pelaburan dalam ekosistem fintech termasuk dana modal untuk pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mana kami percaya akan memacu pulangan menarik dalam tempoh jangka masa panjang," katanya. - DagangNews.com