Untung suku pertama Digi susut kepada RM265 juta | DagangNews Skip to main content

Untung suku pertama Digi susut kepada RM265 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 April - Syarikat telekomunikasi, DiGi.com Berhad (Digi) menyaksikan keuntungan selepas cukai (PAT) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021 (1Q21) menyusut 20% kepada RM264.83 juta daripada RM322.0 yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Digi dalam maklumannya di Bursa Malaysia memberitahu, penurunan itu disebabkan oleh perubahan ‘mark-to-market’ pada pertukaran kadar faedah susulan kerugian nilai saksama sebanyak RM22 juta dicatatkan pada 1Q21.

 

Jelas Digi, ini berbeza dengan perolehan nilai saksama sebanyak RM37 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu apabila unjuran kadar faedah banyak menurun ekoran pandemik COVID-19.

 

“Digi melabur perbelanjaan modal lebih tinggi sebanyak RM157 juta tahun ke tahun (y-o-y) daripada jumlah perolehan untuk menyokong pelancaran rangkaian dan mengatur kedudukan tapak.

 

“Aliran tunai operasi kekal stabil pada kadar RM580 juta atau margin sebanyak 37.4%,” ujar Digi.

 

Bagi tempoh sama, Digi mencatatkan jumlah perolehan sebanyak RM1.55 bilion yang disumbangkan oleh pertumbuhan internet dan hasil digital, selain peranti dan hasil lain menokok 23.1% y-o-y.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty berkata, Digi menyaksikan pertumbuhan stabil y-o-y didorong peningkatan dalam momentum komersial yang memanfaatkan pertumbuhan internet dan rangkaian yang lebih kuat, memberikan kapasiti lebih baik dan pengalaman rangkaian yang konsisten. 

 

“Melangkah ke hadapan, kami tetap komited dalam memberikan keutamaan perniagaan, di samping menjaga keseimbangan kecekapan operasi dengan pelaburan strategik dalam bidang yang berkembang serta meneruskan sokongan dalam pemulihan masyarakat,” katanya. 

 

Digi mengisytiharkan dividen interim pertama pada kadar 3.4 sen sesaham, bersamaan RM246 juta.

 

Bagi prospek 2021, syarikat telekomunikasi itu melihat cadangan penggabungan Digi dan Celcom akan mewujudkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi terkemuka di Malaysia untuk mempercepat pertumbuhan dan inovasi digital.

 

Dalam masa sama, Digi berkata, pihaknya tetap teguh dalam memacu perniagaan seperti biasa bagi baki tahun 2021 dalam memenuhi keutamaannya, kewangan yang kukuh, ketangkasan organisasi, jenama yang dipercayai dan standard perniagaan yang bertanggungjawab.

 

Digi menekankan unjuran FY21 yang dijangka mencatatkan penurunan satu digit rendah bagi pendapatan perkhidmatan, penurunan satu digit sederhana untuk pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta nisbah perbelanjaan operasi kepada jumlah pendapatan antara 14% hingga 15%. - DagangNews.com