UOB Malaysia bantu peralihan ke arah tenaga lebih bersih | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia bantu peralihan ke arah tenaga lebih bersih

 

 

KUALA LUMPUR 15 April - Melihat kepada permintaan tenaga elektrik yang semakin meningkat di Malaysia, UOB Malaysia bersedia membantu peralihan negara ke arah pencapaian tenaga lebih bersih dengan menyokong loji janakuasa yang memberi kesan lebih rendah terhadap alam sekitar. 

 

Penjanaan kuasa di negara ini dijangka meningkat pada kadar purata 3.2% setiap tahun sehingga mencapai 47.8 gigawatt menjelang akhir 2028. 

 

Kawasan Lembah Klang mempunyai permintaan tenaga elektrik paling tinggi di Semenanjung Malaysia. 

 

Kekurangan dalam bekalan semasa bermakna kawasan ini sangat bergantung pada penghantaran kuasa jarak jauh dari kedua-dua wilayah utara dan selatan Semenanjung.

 

 

Ng Wei Wei
Ng Wei Wei

 

 

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Borong, UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, wilayah tengah sedang melihat kadar pertumbuhan penggunaan tenaga elektrik yang lebih tinggi, justeru, terdapat keperluan untuk meningkatkan kapasiti melalui pembinaan loji janakuasa yang lebih cekap dan lebih mapan. 

 

"Ke arah matlamat ini, UOB Malaysia komited untuk menyokong projek yang akan membantu negara melakukan peralihan ke gas asli dan tenaga boleh diperbaharui," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

UOB Malaysia adalah pembiaya bersama dalam kemudahan Pembiayaan Berjangka-i Komoditi Murabahah untuk loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan berkapasiti 1,200 megawatt di Pulau Indah, Selangor, seperti yang diumumkan baru-baru ini. 

 

Projek ini merupakan usaha sama antara Worldwide Holdings Berhad dan Korea Electric Power Corporation. 

 

Apabila siap pada 2024, loji janakuasa ini dijangka dapat memenuhi permintaan di kawasan Lembah Klang dengan cara yang lebih mapan. 

 

Ini kerana loji janakuasa gas asli mempunyai kecekapan tenaga yang lebih tinggi dan berupaya mengeluarkan karbon dioksida 50 hingga 60% lebih rendah setiap jam kilowatt berbanding loji arang batu yang biasa.   

 

Sumber tenaga gas dan haba dijangka terus membentuk sebahagian besar campuran penjanaan tenaga negara sepanjang tempoh 7 tahun akan datang. 

 

Namun demikian, UOB Malaysia percaya bahawa negara akan terus meningkatkan sumber tenaga boleh diperbaharui dalam campuran kapasiti tenaga sehingga 20% menjelang 2025 terutamanya tenaga solar.

 

Unjuran ini disokong oleh pengumuman mengenai pembinaan loji janakuasa baharu di bawah program Solar Berskala Besar (LSS) 4 oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia baru-baru ini. 

 

Solarvest Holdings Berhad, rakan kongsi kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dalam program U-Solar UOB Malaysia, adalah salah satu syarikat pembida LSS4 yang berjaya. 

 

UOB Malaysia juga menyokong 2 projek loji tenaga solar iaitu Loji Janakuasa Sinar Kamiri yang terletak di Sungai Siput, Perak dan Loji Janakuasa Kenyir Gunkul yang terletak di Dungun, Terengganu, di bawah program LSS sebelum ini.

 

Wei Wei berkata, walaupun sumber tenaga gas dan haba akan terus memenuhi permintaan tenaga elektrik negara dengan ketara, namun pembinaan projek loji tenaga solar mempunyai masa depan yang cerah. 

 

"Kami yakin projek loji tenaga solar di bawah program LSS, termasuk daripada Solarvest di bawah pembidaannya yang berjaya, akan mempercepat lagi usaha Malaysia dalam mencapai sasaran kapasiti tenaga boleh diperbaharui.

 

Melalui program U-Solar dan pembiayaan bagi loji tenaga solar Sinar Kamiri dan Kenyir Gunkul, UOB Malaysia berhasrat untuk menggalakkan penggunaan teknologi hijau yang lebih luas di seluruh negara. - DagangNews.com