UOB Malaysia, Prudential manfaatkan ciri bersemuka secara maya mudahkan pengurusan insurans | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia, Prudential manfaatkan ciri bersemuka secara maya mudahkan pengurusan insurans

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim

 

 


KUALA LUMPUR 22 Sept. – UOB Malaysia menjalin kerjasama dengan Prudential Assurance Malaysia Bhd. (PAMB) untuk menyediakan rangkaian penyelesaian insurans secara digital kepada pelanggan melalui bersemuka secara maya (VF2F), sekali gus menjadikannya bank pertama di Asia Tenggara menggunakan ciri tersebut.

 

Ia laksanakan menerusi Pulse, aplikasi kesihatan dan kesejahteraan semua dalam satu syarikat insurans tersebut. 

 

Inisiatif ini membolehkan pelanggannya menguruskan keperluan insurans mereka secara digital dan mudah,
terutama dalam situasi pandemik yang masih berterusan.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim berkata, kerjasama dengan PAMB menunjukkan komitmen bank untuk menyediakan penyelesaian progresif dan mudah yang berkaitan dengan keperluan dan pilihan gaya hidup pelanggan.

 

“Ramai pelanggan tidak boleh mendapat bantuan atau sokongan di cawangan kami akibat sekatan pergerakan yang berterusan dan keperluan penjarakan fizikal. 

 

"Kami gembira menjadi bank pertama di rantau ini untuk menggunakan ciri VF2F pada aplikasi Pulse Prudential, sekali gus menawarkan kefleksibelan dan ketenangan fikiran kepada pelanggan kami untuk mendapat nasihat kekayaan dari rumah mereka sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Kanan, Pengedaran Perkongsian PAMB, Lee Ee Hui berkata, pandemik ini telah meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan insurans dan betapa pentingnya untuk dilindungi dari segi kewangan. 

 

"Dengan perkongsian ini, kami dapat menawarkan perkhidmatan hujung ke hujung yang selamat kepada
pelanggan UOB Malaysia pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui Pulse," jelasnya.

 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, pelanggan UOB Malaysia juga dapat menikmati pelbagai keistimewaan apabila mereka menggunakan aplikasi Pulse oleh Prudential. 

 

Keistimewaan ini termasuklah pemeriksaan gejala yang dikuasakan teknologi AI, penilaian kesihatan dan perkhidmatan perundingan doktor dalam talian. - DagangNews.com