UOB Malaysia sedia pembiayaan pertama RM800 juta kepada Ericsson Malaysia jayakan 5G negara | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia sedia pembiayaan pertama RM800 juta kepada Ericsson Malaysia jayakan 5G negara

 

 


KUALA LUMPUR 28 Okt. – UOB Malaysia menyediakan pembiayaan tranche pertama dalam bentuk Pengaturan Pembelian Penghutang (RPA) berjumlah RM800 juta kepada Ericsson (Malaysia) Sdn. Bhd. (Ericsson Malaysia). 

 

Ini membolehkan syarikat melancarkan fasa awal rangkaian 5G Digital Nasional Berhad (DNB) di seluruh negara.

 

Sebagai tambahan, UOB Malaysia juga diberi mandat sebagai Pengatur Utama untuk tambahan RPA bersindiket berjumlah RM2.3 bilion bagi penyertaan institusi kewangan yang berpotensi. 

 

Selepas penerimaan RPA bersindiket oleh institusi kewangan yang mengambil bahagian, sejumlah RM3.1 bilion akan dikumpul untuk tujuan bekalan, penyampaian dan pengurusan keseluruhan rangkaian 5G DNB.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pihaknya berbesar hati dilantik oleh Ericsson Malaysia sebagai pembiaya pertama dan pengatur utama dalam pengaturan kewangan yang amat penting ini. 

 

Katanya, mereka optimis dengan strategi pelancaran rangkaian 5G DNB kerana yakin bahawa projek mercu tanda ini akan membawa impak ekonomi jangka panjang yang positif kepada negara.

 

“Pengaturan kewangan ini akan membolehkan Ericsson Malaysia memenuhi kewajipan kontraknya dan 
menyokong mandat DNB untuk membina, memiliki dan mengendalikan rangkaian 5G kebangsaan.

 

"Inisiatif ini dikenal pasti sebagai pemangkin utama aspirasi ekonomi digital Malaysia. Pembiayaan ini juga menunjukkan kepakaran UOB dalam menstrukturkan pembiayaan rumit dengan jumlah sebesar ini untuk projek infrastruktur," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

DNB, entiti milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), diberi mandat menjadi pihak berkecuali (neutral) tunggal untuk melaksanakan penggunaan infrastruktur dan rangkaian 5G yang dipercepatkan di seluruh negara. 

 

Ia juga dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menyediakan liputan dan keupayaan 5G secara menyeluruh kepada pemegang lesen di bawah Akta tersebut.

 

Sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk membekal, menyampaikan dan mengurus rangkaian 5G DNB, dan berdasarkan pengalamannya mengumpul dana untuk projek infrastruktur di pasaran lain, Ericsson Malaysia akan membantu mengatur pembiayaan peralatan rangkaian daripada institusi kewangan asing dan domestik. 

 

Pembangunan Rangkaian 5G Kebangsaan adalah sebahagian daripada inisiatif MyDigital yang dirangka untuk membangunkan dan memacu ekonomi digital negara menjelang 2030 dan berfungsi sebagai sebahagian daripada aspirasi kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia ke arah negara dipacu digital dan berpendapatan tinggi.

 

Sementara itu, Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata, pembiayaan awal oleh UOB Malaysia memberikan Ericsson aliran tunai yang kukuh dalam fasa awal pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia. 

 

"Pelancaran 5G di Malaysia akan berfungsi sebagai pengganda sosioekonomi selain mempercepatkan transformasi negara menjadi masyarakat yang diperkasakan secara digital dan ekonomi berasaskan pengetahuan," katanya.

 

Ketua Pegawai Kewangan DNB, Nik Azlan Aziz pula berkata, keyakinan dan sokongan oleh UOB Malaysia terhadap model perniagaan DNB untuk mencapai penggunaan rangkaian 5G yang dipercepatkan di seluruh negara, selaras dengan objektif kerajaan. 

 

"Kami berharap dapat melengkapkan baki kemudahan RPA Bersindiket sejumlah RM2.3 bilion di mana, dengan tranche pertama RM800 juta ini, akan melengkapi sebahagian daripada anggaran jumlah kemudahan modal kerja sebanyak RM5 bilion yang diperlukan oleh DNB sehingga 2024 untuk melaksanakan perancangan rangkaian 5G.
 

"Malah, Kami berhasrat untuk menggantikan kemudahan ini dengan Program Sukuk jangka panjang yang mana DNB setakat ini telah menerima minat yang kukuh oleh bakal para pemberi pinjaman," jelas beliau.

 

Secara keseluruhan, pelaksanaan rangkaian dan infrastruktur 5G dijangka menghasilkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak RM100 bilion dan mewujudkan 100,000 pekerjaan baharu dalam tempoh 10 tahun akan datang. - DagangNews.com