UOB Mighty mudahkan pembukaan akaun pelanggan | DagangNews Skip to main content

UOB Mighty mudahkan pembukaan akaun pelanggan

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim

 

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - UOB Malaysia melancarkan perkhidmatan pembukaan akaun digital bagi memudahkan pelanggan membuka akaun bank peribadi pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui aplikasi perbankan mudah alih semua dalam satu bank, UOB Mighty. 

 

Melalui aplikasi ini, pelanggan boleh memulakan perjalanan kewangan mereka dengan bank dalam masa 10 minit sahaja, sekali gus mengurangkan purata masa yang biasa diambil untuk membuka akaun secara bersemuka sehingga 60%.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim berkata, perkhidmatan pembukaan akaun digital yang ditawarkan oleh aplikasi mudah alih UOB Mighty adalah sejajar dengan pilihan pengguna untuk beralih ke perbankan dalam talian ketika mereka kekal di rumah semasa pandemik.

 

Katanya, dengan mendigitalkan permohonan dan proses pembukaan akaun, pelanggan boleh memohon membuka akaun bank dari keselesaan rumah mereka sendiri tanpa perlu mengisi borang kertas yang panjang. 

 

"Kami juga telah mengintegrasikan penyelesaian Kenali Pelanggan Anda secara elektronik (e-KYC) untuk mengesahkan identiti pelanggan.

 

"Ini bermakna pelanggan baharu tidak perlu mengunjungi cawangan secara peribadi untuk mengesahkan
identiti mereka sebelum membuka akaun," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Selepas menghantar permohonan, pelanggan akan menerima pemberitahuan mengenai status permohonan mereka melalui aplikasi dalam tempoh 2 minit.

 

Sebaik sahaja permohonan disahkan dan diluluskan, pelanggan boleh memindahkan dana ke akaun bank
baharu mereka untuk mengaktifkannya. 

 

Dalam beberapa minit sahaja, pelanggan boleh mula menggunakan akaun deposit pilihan untuk menambah dan menguruskan kewangan.

 

Sebagai sebahagian daripada pengalaman perbankan digital yang dipertingkatkan oleh UOB, pelanggan
juga dapat memanfaatkan Mighty, perkhidmatan perbankan digital dipacu kecerdasan buatan (AI) di UOB Mighty.

 

Semasa pelancaran, bank akan menawarkan faedah bonus sehingga 6.68% setahun kepada pelanggan yang telah membuka akaun simpanan melalui aplikasi tersebut. 

 

Sebagai tambahan, pelanggan akan menerima e-baucar bernilai sehingga RM248 daripada Shopee apabila mereka memohon dan berbelanja dengan kad debit atau kredit UOB. - DagangNews.com