Skip to main content

UPM berkolaborasi dengan industri beri bantuan banjir

Pengarah UCTC UPM, Prof. Dr. Loh Teck Chwen (dua dari kiri) bersama sukarelawan UPM menyediakan kotak bantuan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Selangor.

 

 

Oleh MAHANI AMAT

 

 

LULUH hati apabila melihatkan keadaan rumah, kereta dan harta benda yang rosak akibat banjir. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Banjir kali ini disifatkan sebagai bencana alam yang terburuk melanda negara ini.

 

Namun, atas keprihatinan yang tinggi dan jaringan hubungan industri yang erat di antara Universiti Putra Malaysia, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) bersama MyFundAction, syarikat korporat QL Poultry Farms, Farm Fresh, FamilyMart Malaysia, Eco Biodynamic Sdn Bhd., Chemtron Biotechnology Sdn Bhd, dan Yakult Malaysia telah bersama berganding bahu untuk bantuan segera ke lokasi yang terjejas di Selangor.

 

Terdapat juga sumbangan individu yang memberikan produk sejuk beku jenama CP, dan pelbagai lagi sumbangan dalam bentuk barangan seperti air mineral, roti, kit pembersihan diri dan pencucian rumah.

 

Selain itu, UCTC UPM juga menerima sumbangan penggunaan kenderaan daripada syarikat Jelita Emas Cosmetics Manufacturing Sdn.Bhd. untuk tujuan pengangkutan barang sumbangan dan pengagihan barangan.

 

Nilai keseluruhan sumbangan yang diterima adalah lebih RM20,000.

 

UPM

 

Timbalan Naib Canselor UPM (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. B. T. Hang Tuah menyatakan kerjasama di antara UPM, pihak industri dan NGO adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mencapai model penta helix serta meningkatkan semarak #KeluargaMalaysia yang dilaung-laungkan oleh kerajaan.

 

“Kolaborasi erat inilah yang berupaya menterjemahkan semangat aspirasi Keluarga Malaysia dan diharapkan ia dapat diteruskan dengan program lain secara bersama pada masa akan datang,” sambungnya lagi.

 

Menerusi Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM, sumbangan ini telah diselaraskan oleh Bilik Operasi Bantuan Banjir UPM dan disampaikan secara terus kepada golongan sasar yang memerlukan bagi memastikan tiada pembaziran berlaku dan mengelakkan berlakunya lambakan sumbangan.

 

Penyelarasan sumbangan ini turut dibantu oleh sukarelawan mahasiswa UPM yang sangat aktif dan sentiasa bersedia pada bila-bila masa.

 

UPM

 

Menurut Pengarah UCTC UPM, Prof. Dr. Loh Teck Chwen, penglibatan pelajar UPM bersama masyarakat dalam program sukarelawan sebegini dapat memupuk sikap prihatin dan bertanggungjawab serta semangat tolong-menolong di dalam diri pelajar terhadap masyarakat.

 

Sebagai pusat pemindahan ilmu, UCTC UPM juga ingin menasihatkan agar ibu bapa dapat mengawasi ahli keluarga terutamanya anak kecil agar tidak bermain dengan air banjir bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

 

Banjir bukan tempat untuk bermain air kerana keadaan air yang kurang bersih boleh menyebabkan masalah kesihatan malah boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan diri.

 

UPM

 

UPM

 

UPM

 

UPM

 

PM

 

UPM

 

Dalam keadaan dan situasi pandemik COVID-19 ini, UCTC UPM juga ingin menyeru dan merayu agar masyarakat sentiasa memakai pelitup muka apabila berhadapan dengan orang lain. Ini kerana kita masih lagi berperang dengan virus COVID yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

 

Loh menegaskan, “Jadikan amalan memakai pelitup muka seperti kita memakai kasut setiap kali ingin keluar rumah. Ini penting supaya kita sama-sama dapat mengatasi situasi COVID-19 yang masih melanda negara.”

 

Selain daripada memberikan bantuan sumbangan makanan, UCTC UPM juga turut membantu membersihkan rumah rakan-rakan UPM yang terjejas bagi meringankan beban mereka dan meningkatkan semangat mereka untuk mengharungi dugaan yang dihadapi. – DagangNews.com

 

Mahani Amat adalah Pegawai Pertanian (Pengembangan), Bahagian Pengembangan Pertanian, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia.