UPM kekal universiti kedua terbaik Malaysia | DagangNews Skip to main content

UPM kekal universiti kedua terbaik Malaysia

UPM

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya meletakkan kedudukannya pada tangga ke-143 terbaik dunia berdasarkan keputusan QS World University Rankings 2022.

 

Pengumuman tersebut sekali gus mengekalkan kedudukan UPM sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia selepas Universiti Malaya (UM).

 

Menjalankan fungsi Naib Canselor UPM, Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan berkata, kekuatan UPM adalah pada indikator pelajar antarabangsa di mana UPM berada pada kedudukan ke-128 terbaik antara semua universiti yang dinilai. 

 

"Walaupun pandemik COVID-19 telah memberi kesan terhadap sektor pengajian tinggi secara amnya, UPM dapat mengekalkan prestasi dari segi bilangan pelajar antarabangsa.

 

"Ini disebabkan oleh sistem pengajian UPM yang membuka peluang kepada pelajar antarabangsa yang mempunyai kelayakan IELTS atau TOEFL untuk mendaftar ke program pengajian UPM secara dalam talian setelah mendapat kelulusan dari Jabatan Imigresen Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengumuman kedudukan edisi ke-8 itu dibuat oleh penganalisis pendidikan tinggi global QS Quacquarelli Symonds dengan menyenaraikan 1,300 universiti terbaik dunia.

 

Penilaian ranking berkenaan melibatkan 1,673 universiti antarabangsa yang dinilai dari 93 negara. 

 

Sebanyak 145 universiti yang baharu dalam analisis ranking pada tahun ini dan 22 universiti tempatan juga berjaya tersenarai dalam ranking tersebut.

 

Tambah beliau, keunggulan UPM turut dibuktikan melalui peningkatan prestasi dalam kedua-dua indikator reputasi global iaitu Reputasi Akademik yang mempunyai pemberat tertinggi (40%) dan Reputasi Majikan (10%). 

 

"UPM merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga UPM atas segala sumbangan dan komitmen yang telah dizahirkan selama ini sehingga kita berada pada kedudukan yang cemerlang seperti ini," katanya. - DagangNews.com