UPM lancarkan Pelan Strategik UPM 2021-2025 usaha teruskan legasi kecemerlangan | DagangNews Skip to main content

UPM lancarkan Pelan Strategik UPM 2021-2025 usaha teruskan legasi kecemerlangan


SERDANG 4 Dis – Universiti Putra Malaysia melancarkan Pelan Strategik UPM 2021-2025 (PSUPM) sebagai usaha meneruskan legasi kecemerlangan universiti itu dan kesinambungan kepada Pelan Strategik UPM 2014-2020.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, pelan itu menzahirkan komitmen berterusan dalam memastikan UPM mempunyai daya saing yang tinggi pada peringkat tempatan dan juga antarabangsa.

 

“PSUPM menghuraikan cabaran, nilai-nilai bersama, matlamat, objektif strategik, pelan tindakan dan sasaran keberhasilan UPM untuk meningkatkan sumbangan, peranan dan kecemerlangan dalam aspek akademik, penyelidikan, keunggulan pelajar, pemasyarakatan ilmu, pembangunan pertanian, pengukuhan institusi, nilai dan tadbir urus serta pembangunan lestari yang akan dilaksanakan untuk tempoh 2021 hingga 2025,” katanya.

 

``Pelan strategik itu memberi fokus kepada lima matlamat utama iaitu Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang, Mewujudkan Hab Penyelidikan dan Inovasi yang Menjanakan Nilai Berteraskan Ekosistem Lestari, Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri dan Masyarakat, Memperkasakan Pertanian dan Ketahanan Sekuriti Makanan serta Memperteguh Tadbir Urus Institusi, Kemampanan Kewangan dan Amalan,'' katanya.

 

Pelan Strategik UPM tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad pada Majlis PSUPM 2021-2025 “Evolusi Keunggulan 50 Tahun UPM” pada 3 Disember 2021.

 

PSUPM dibangunkan sebagai usaha untuk meneruskan legasi kecemerlangan UPM sebagai kesinambungan kepada Pelan Strategik UPM 2014-2020.


 

UPM
Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman

 


Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal turut melancarkan Agenda Melagang Kampus Pintar dan pendigitalan melalui inisiatif Smart Putra®Future Classroom, Smart Putra®VDI Lab, menjadi IPT pertama melaksanakan Digital ID melalui Putra®VID, kemudahan satu server satu pelajar yang dikenali sebagai Smart Putra®One Server, dan kemudahan internet berkelajuan tinggi melalui inisiatif Smart Putra®Premium.

 

Selain itu, pada majlis tersebut menyaksikan penyerahan Gold Bar kepada lima pembeli terbanyak dan pelancaran jualan Setem Ku Korporat sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas UPM Sempena 50 Tahun Penubuhan UPM (1971 – 2021).

 

Promosi Ekslusif iaitu inisiatif penjanaan universiti melalui penjualan nombor plat kereta khas UPM turut akan diadakan serta Pelancaran Tribun Putra Edisi Khas Sambutan 50 Tahun UPM yang merupakan akhbar rasmi UPM yang diterbitkan sejak tahun 1998.


 

UPM
Dr. Ahmad Masrizal (dua dari kiri) bersama Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman (tiga dari kiri) melancarkan kemudahan internet berkelajuan tinggi Smart Putra®Premium.

 

 

Sementara itu, sejarah penubuhan UPM bermula sejak penubuhan Sekolah Pertanian pada 21 Mei 1931 dengan tujuan untuk menyediakan pegawai-pegawai bagi Jabatan Pertanian.

 

Pada 23 Jun 1947, Sekolah Pertanian dinaik taraf menjadi Kolej Pertanian Malaya dan kemudiannya pada 31 Mac 1969, Tun Abdul Razak Hussein telah mengutarakan penubuhan sebuah universiti pertanian yang menawarkan program pengajian di peringkat ijazah.

 

Sejarah UPM dari tahun 1931 sehingga 2011 telah memperlihatkan transformasi dari sebuah sekolah pertanian kecil yang kini gah menjadi sebuah daripada Universiti Penyelidikan (RU) dan pengajian terunggul di Malaysia yang disegani di persada antarabangsa dan tempatan. - DagangNews.com