UPM sasar jimat RM114 juta bil elektrik guna sistem solar PV dibiayai TNB | DagangNews Skip to main content

UPM sasar jimat RM114 juta bil elektrik guna sistem solar PV dibiayai TNB

Datuk Seri Abdul Razak Jaafar (tengah) menyaksikan majlis menandatangani dokumen perjanjian Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn Bhd dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Fakulti Kejuruteraan UPM pada 6 Januari 2021. - Gambar UPM

 

 

 

SERDANG 7 Jan - Universiti Putra Malaysia (UPM) menyasarkan penjimatan bil elektrik sebanyak RM114 juta menerusi  pemasangan sistem solar jenis fotovoltaik (PV) untuk tempoh 25 tahun.

 

Naib Canselor UPM Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, projek berkapasiti 16.18 mega watt peak (MWp) itu, merupakan projek solar terbesar antara universiti awam di negara ini.

 

Beliau berkata, kerja-kerja pemasangan di 16 tapak sekitar universiti itu akan bermula hujung bulan ini dan dijangka siap pada Julai depan.

 

Katanya, panel solar akan dipasang antaranya pada bahagian bumbung fakulti, masjid dan bangunan pentadbiran, selain di tasik bagi projek solar terapung iaitu Hidroponik-Aquavoltaik Bersepadu Skala Besar Pertama untuk tujuan penyelidikan antara UPM dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

 

"Kami  akan guna pakai segala ruang yang kosong dalam UPM untuk meletakkan panel solar," katanya kepada media selepas majlis menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) di sini Khamis.

 

Di bawah perjanjian itu, GSPARX Sdn Bhd, sebuah anak syarikat TNB, akan memasang sistem solar di UPM dengan kos pemasangan RM45 juta dibiayai TNB.

 

Menurut Mohd Roslan bil elektrik UPM yang meliputi kampus Serdang dan Hospital Pengajar, mencecah RM40 juta setiap tahun dan ia merupakan satu jumlah besar yang perlu diperuntukkan daripada perbelanjaan mengurus universiti.


 

Dr Mohd Roslan Sulaiman
Dr Mohd Roslan Sulaiman

 


Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam ucapannya pada majlis itu berkata menerusi projek solar PV itu, dianggarkan antara 50 dan 60% penjimatan bil dapat dilaksanakan.


 

Datuk Seri Abdul Razak Jaafar
Datuk Seri Abdul Razak Jaafar

 


"Penjimatan ini semestinya dapat membantu pihak universiti awam untuk mengekalkan kelestarian sumber kewangan, di samping boleh menggunakannya untuk perkara-perkara lain yang lebih penting," katanya dalam ucapan yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar. - DagangNews.com